Susulan kontroversi membabitkan Kim Soo Hyun, peminat di Taiwan meluahkan rasa bimbang jika acara bertemu peminat bersama aktor itu pada 30 Mac ini dibatalkan.
Allkpop melaporkan pihak penganjur iaitu 7-Eleven Taiwan juga masih belum menerima sebarang pengesahan daripada pengurusan Soo Hyun sama ada acara itu diteruskan atau pun sebaliknya, menurut mStar.
“Buat masa ini acara bertemu peminat itu diteruskan seperti biasa memandangkan tiada sebarang arahan ia dibatalkan daripada pihak pengurusan Kim Soo Hyun.
“Tetapi sekiranya terdapat sebarang perubahan kami akan maklumkan dengan segera,” kata wakil penganjur.
Sesi bertemu peminat bersempena Sakura Festival 2025 itu dijangka berlangsung di Kaohsiung, Taiwan pada 30 Mac ini.
Bagaimanapun sekiranya pelakon drama Queen of Tears itu gagal menghadirkan diri, ada kemungkinan Soo Hyun dikenakan denda penalti sebanyak NT$30,000,000.
Difahamkan 7-Elven Taiwan sebelum ini menawarkan pakej istimewa kepada peminat termasuk hadiah berupa segelas cawan dengan pemegang khas menampilkan foto Soo Hyun.
Selain itu, peminat berpeluang membawa pulang poster gergasi manakala 200 peminat bertuah berpeluang bertemu dan bermesra dengan aktor popular itu.
Sejak minggu lalu, nama Soo Hyun hangat selepas dia didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Kim Sae Ron selama enam tahun sejak mendiang berusia 15 tahun. Bagaimanapun pelakon berkenaan menyangkal dakwaan tersebut.
Pada 16 Februari lalu, Sae Ron ditemukan mati di rumahnya di Seongsu-dong, Korea Selatan pada hari jadi ke-37 Soo Hyun.
