Oleh Ak Zaki Kasharan & Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Dalam usaha menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah mengungkayahkan Program Tadarus Al-Quran Belia di Bulan Ramadan serentak di keempat-empat daerah bagi tahun 1444H/2023M.
Di Daerah Brunei dan Muara, program tadarus telah diadakan di Masjid Kampung Pintu Malim di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat majlis dan diikuti dengan Tadarus Al-Quran dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Pintu Malim, Awangku Muhammad Syukri bin Pengiran Haji Sulaiman, disertai oleh wakil dari Pusat Sejarah Brunei, ahli-ahli Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) Pusat Belia BSB, Kumpulan Al-Busyra dan Alumni Kem Asuhan Minda Belia 2023.
Majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Tahlil yang diketuai oleh naib johan qari Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 2022, Awang Abdul Haziq Syarafuddin bin Abdul Habib, dan diselajurkan dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Selamatkan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Pintu Malim.
Manakala di Daerah Temburong, hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.



Majlis tersebut diadakan di Masjid Kampung Batu Apoi dan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan Tadarus Al-Quran yang diketuai oleh Awang Muhammad Nur Aziimin bin Shahminan daripada Belia Permata Hijau.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Tahlil yang dipimpin oleh Awang Muhammad Zulkhairi bin Azamy daripada Belia Permata Hijau, manakala bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Selamatkan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Batu Apoi, Awang Shamsuddin bin Haji Azahari.
Di Daerah Tutong pula, program tadarus diadakan di Masjid Kampung Sinaut yang dihadiri oleh Pemangku Pengetua PSB, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus selaku tetamu kehormat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan Tadarus Al- Quran yang diketuai oleh Imam Masjid Kampung Sinaut, Pengiran Muhd Fakhrin bin Pengiran Mohd Dani, dan diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Tahlil dipimpin oleh Awang Muhammad Darwisy Afiq bin Jailani daripada Belia IMPAK Tutong serta bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Selamatkan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sinaut.
Sementara itu, di Daerah Belait pula, majlis tadarus dihadiri oleh Pemangku Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara, Mejar (B) Haji Mohammad bin Dollah, selaku tetamu kehormat yang berlangsung di Masjid RPN Kampung Pandan.
Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan, kakitangan dan belia daerah; yang telah dijemput oleh Pemangku Ketua JBS Cawangan Daerah Belait, Haji Mohd Amiruldinie bin Mohd Nasirudin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat, dan diteruskan dengan bacaan Tadarus Al-Quran yang dipimpin oleh Haji Abdul Afiq bin Zainuddin daripada Majlis Belia Brunei (MBB), diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Tahlil dipimpin oleh mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Awang Mohammad Nabil bin Mohammad Nordin dan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Abdul Qayyum bin Haji Aminnuddin dan seterunya majlis diakhiri dengan sembahyang fardu Zohor berjemaah.
Program Tadarus Al-Quran Belia di Bulan Ramadan merupakan projek tahunan KKBS kendalian JBS bersempena dengan sambutan bulan Ramadan mubarak.
Program itu diadakan adalah untuk menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan, disamping untuk mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia serta untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat.

