Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    KKBS hantar delegasi sertai SSEAYP ke-47

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menghantar delegasi Negara Brunei Darussalam untuk menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) ke-47, 2023 di Tokyo, Jepun selama 10 hari bermula 29 November hingga 8 Disember.

    Delegasi terdiri daripada Ketua Kebangsaan iaitu Hajah Siti Shamsiah binti Haji Sajali bersama 10 orang belia berumur antara 18 hingga 33 tahun yang diketuai oleh Ketua Belia, Awang Muhammad Asyraf bin Zulkipli dan Penolong Ketua Belia, Dayang Nurul Hazirah binti Haji Jahari.

    Sehubungan itu, majlis penyerahan bendera kebangsaan kepada ketua delegasi telah diadakan di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, kelmarin.

    Hadir untuk menyempurnakan penyerahan bendera serta menyampaikan kata-kata semangat kepada delegasi ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyeru para peserta program memperoleh pengalaman dan pengajaran yang berguna untuk dikongsi bersama golongan belia di negara ini serta sentiasa menjaga tatasusila negara.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi, TYT Maeda Toru dan Haji Zakaria bergambar ramai dengan delegasi kebangsaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BELIA DAN SUKAN

    Majlis juga selajurkan dengan penyerahan tiket penerbangan kepada ketua delegasi yang diserahkan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru.

    Turut hadir pada majlis ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan), KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai serta kakitangan di KKBS serta para ibu bapa peserta program berkenaan.

    Dengan membawa tema What Youth Can Do In The New Era Of Cooperation towards the 50th Year of ASEAN-Japan Friendship and Cooperation, program itu akan membincangkan lima tajuk utama yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu pendidikan berkualiti, kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita, pertumbuhan ekonomi dan komuniti dan bandar raya mampan, tenaga, langkah-langkah menangani perubahan iklim, masyarakat berasaskan-kitar semula serta kesejahteraan dan kesihatan baik.

    SSEAYP pada 2023 turut dijalankan secara dalam talian selama dua hari, merangkumi sesi perkenalan antara para belia dari negara-negara ASEAN dan Jepun sebelum ia diadakan secara fizikal di Tokyo, Jepun.

    Program itu antara lain bertujuan bagi mempromosikan lagi persahabatan dan persefahaman serta pertukaran belia antara Jepun dan negara-negara ASEAN khususnya Negara Brunei Darussalam, di samping dijadikan sebagai platform untuk belia berkongsi ilmu pengetahuan dan peluang untuk menjalinkan kerjasama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...