Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKBS terima peruntukan lebih $80 juta

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi Tahun Kewangan 2023/2024 diperuntukkan sebanyak $83,813,020 dengan kementerian akan terus berusaha dengan kerjasama senegara untuk mencapai matlamat Bangsa Brunei Cemerlang ke arah Wawasan Brunei 2035.

    Peruntukan itu dibentangkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dalam mukadimahnya dalam pembentangan peruntukan KKBS semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau menghuraikan empat fokus strategi sebagai pelengkap kepada usaha meneruskan pelaksanaan Pelan Strategik KKBS bagi Tahun Kewangan 2023/2024 dan usaha pengupayaan, pemerkasaan dan penglibatan (3P).

    Strategi pertama, jelas beliau, adalah dalam bidang kemasyarakatan di mana kita terus mengembang maju ke arah masyarakat cemerlang, bersatu padu dan berdaya tahan.

    Bagi strategi berkenaan, sejumlah $23.75 juta diperuntukkan bagi program mengembang majukan masyarakat progresif termasuk penambahbaikan prasarana dan kemudahan, yang merangkumi $15.8 juta bagi perkhidmatan bantuan am dan memperkasa penerima bantuan kebajikan, $1.5 juta bagi perkhidmatan orang kelainan upaya dan $3.4 juta bagi pengukuhan institusi keluarga.

    Strategi kedua, dalam bidang kebeliaan di mana kementerian terus menumpukan kepada melahirkan belia harapan yang berwawasan sebagai peneraju pembangunan negara.

    Bagi strategi berkenaan, sejumlah $10.21 Juta diperuntukkan bagi program melahirkan Belia Harapan yang Berwawasan termasuk penambahbaikan prasarana dan kemudahan.

    Strategi ketiga, dalam bidang kesukanan di mana kementerian terus mengukuhkan ekosistem sukan yang inklusif dan cemerlang, yang menumpukan kepada memantapkan sukan berprestasi tinggi di samping meneruskan usaha meningkatkan sukan untuk masyarakat.

    Ke arah itu, sejumlah $15.93 juta diperuntukkan bagi program ke arah mengukuhkan ekosistem sukan. Ia dihasratkan untuk mewujudkan persekitaran atlet yang stabil, membangun sukan yang berpotensi untuk memenangi pingat, membangun atlet elit, prasarana bagi persediaan sukan berprestasi tinggi dan memastikan keinklusifan sukan untuk masyarakat.

    Strategi keempat, dalam bidang kebudayaan di mana kementerian terus mengukuhkan jati diri dan identiti bangsa sebagai teras pembangunan negara yang berpaksikan Melayu Islam Beraja (MIB).

    Ke arah itu, sejumlah $24.55 juta diperuntukkan bagi program mengukuhkan jati diri dan patriotisme termasuk pembinaan, penerapan dan penghayatan warisan, sejarah dan budaya serta penambahbaikan prasarana dan kemudahan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda