PUERTO AYORA – Dengan janggut panjang berwarna putih dan sut bergaya lama, seorang yang menyerupai Charles Darwin memerhatikan iguana marin dan angsa batu berkaki biru spesies burung ikonik di Kepulauan Galapagos.
Dua abad selepas ahli biologi Britain itu mengunjungi kepulauan yang mengilhamkan teori evolusinya, seorang profesor warga Amerika Syarikat yang telah bersara telah menjejaki sebahagian daripada perjalanannya sambil berpakaian seperti pahlawan abad ke-19.
Kenneth Noll, 66, Profesor Emeritus dalam bidang mikrobiologi di University of Connecticut, telah mendedikasikan dirinya untuk mengekalkan ingatan tentang Darwin.
Sejak lapan tahun yang lalu, beliau telah mengamalkan loghat Britain dan janggut palsu untuk menampilkan dirinya sebagai Darwin di muzium, sekolah, gereja dan perpustakaan, mengajar orang ramai tentang perjalanan, penyelidikan dan kisah-kisah peribadi Darwin.
Darwin yang asli mengembara ke Amerika Selatan menaiki kapal tentera laut British HMS Beagle, mengumpul sampel fosil, tumbuhan, haiwan dan batu.
Beliau melawat Galapagos, di mana dalam pemerhatiannya bahawa sesetengah spesies sedikit berbeza berbanding yang ada di pulau-pulau lain, membantu membentuk teorinya mengenai evolusi dan pemilihan semula jadi yang dicatatkan dalam bukunya yang kontroversi pada 1859, The Origin of the Species.
“Saya ingin mencuba untuk mengalami perkara-perkara yang sama seperti Darwin. Dalam erti kata lain, saya sebagai seorang saintis, jadi saya ingin merasakan kegembiraan yang sama sepertimana yang beliau rasakan dan saya ingin mencuba untuk menyampaikannya kepada penonton,” kata Noll kepada AFP semasa lawatannya ke Galapagos.
Sebagai ahli mikrobiologi, Noll selama 32 tahun mengkaji bakteria dan mikrob untuk memahami evolusi awal spesies tersebut.
Minatnya terhadap Darwin mendorongnya membina replika kajian naturalis di ruang bawah tanahnya.
Semasa bercuti selama seminggu dengan isterinya, beliau memberi ceramah kepada penumpang lain di kapal laut dengan pakaian Darwin, melawat sebuah sekolah dan Pusat Penyelidikan Charles Darwin di mana beliau membuat pembentangan.
Sepanjang perjalanan itu, beliau membuat video promosi untuk syarikat pelayaran dan pusat penyelidikan, sambil menghiburkan pelancong di jalanan.
“Saya fikir Darwin pasti gembira mengetahui ada orang yang melakukan ini. Saya bermaksud, beliau mungkin tidak cuba menjadi penyampai sains, tetapi semua bukunya ditujukan kepada orang awam,” katanya.
Sesuai dengan wataknya, Noll menyimpan sebuah diari kecil penggembaraanya yang menceritakan tentang kesan-kesan perjalanan yang dilaluinya.
Dia berkata perjalanan dan penyamaran Darwinnya ‘sangat bermakna bagi saya dan sekali lagi, ia benar-benar memberi saya landasan yang lebih mendalam’ dari segi penulisan dan pengalaman penggembaraannya.
“Saya suka membuat orang gembira dan saya fikir saya telah melakukannya,” katanya. – AFP