Sunday, November 24, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Klon pokok kalis penyakit tingkat hasil getah

    KUALA LUMPUR, 26 OKT – Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang membuat kajian pembangunan Single Nucleotide Polymorphism Markers For Hevea Brasiliensis atau teknologi genom untuk menghasilkan klon pokok getah yang berkualiti tinggi serta tahan penyakit.

    Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia merupakan satu daripada kajian dan penyelidikan (RnD) yang dijalankan kementerian sebagai perancangan jangka panjang untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil getah oleh pekebun kecil.

    Menurut Fadillah ini kerana antara cabaran utama dihadapi pekebun kecil ialah penyakit kepada pokok getah terutama penyakit akar putih yang menjejaskan produktiviti dan hasil pengeluaran komoditi itu.

    “Kita juga memberi penumpuan kepada RnD melibatkan penanaman benih menggunakan mesin dan kaedah torehan secara automasi kerana kualiti torehan yang baik akan memberi kesan tambah kepada produktiviti pengeluaran getah.

    “Begitu juga kaedah penuaian dan pemasaran yang kita juga mahu kembangkan bagi memastikan produk kita kekal dan boleh diterima di peringkat antarabangsa,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Fadillah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu perancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan untuk membantu pekebun kecil getah.

    Menjawab soalan asal Adnan mengenai inisiatif kerajaan bagi membantu pekebun kecil getah yang berhadapan dengan cabaran harga getah rendah, Fadillah berkata antara langkah dilakukan ialah menerusi Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET).

    Beliau berkata projek itu dijangka dapat menambah nilai getah seterusnya meningkatkan pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil getah. – Bernama

    Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda