LIVERPOOL, 25 OGOS – Pengurus Liverpool Jurgen Klopp memuji kesungguhan skuadnya untuk meraih lebih banyak kejayaan ketika mereka kini berkedudukan teratas Liga Perdana dengan kemenangan 3-1 mengatasi Arsenal hasil dua jaringan Mohamed Salah awal pagi tadi.
Skuad Klopp meraih gelaran Liga Juara-Juara musim lalu tetapi tewas dalam usaha muncul juara pertama Liga Perdana dalam 29 tahun kepada Manchester City dengan hanya satu mata. Liverpool dan City tampak sekali lagi akan bertarung tetapi Reds membuka jurang awal lima mata mengatasi juara bertahan itu yang akan berdepan Bournemouth hari ini menerusi persembahan dominan mengatasi Gunners. “Perlawanan yang hebat daripada skuad saya pada awal musim,” kata Klopp.
“Menakjubkan. Persembahan penuh kekuatan, penuh tenaga, penuh keinginan, penuh keghairahan. Itu yang anda perlukan berdepan pasukan yang bagus seperti Arsenal.”
Kedua-dua pasukan memulakan saingan dengan rekod 100 peratus kemenangan dalam liga utama England tetapi Liverpool menampilkan kehebatan yang masih ada antaranya dengan City.
Arsenal kini tewas dalam tiga kunjungan terakhir ke Anfield dengan gabungan jaringan 12-2 dan harapan awal musim dinafikan walaupun persembahan meyakinkan daripada pemain dengan rekod pembelian kelab, Nicolas Pepe. – AFP