Monday, February 3, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Koa Denko tambah modal pelaburan RM750 juta

    MELAKA, 21 DIS – Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd, pengeluar komponen mikrocip yang berpangkalan di Jepun meningkatkan modal pelaburannya berjumlah RM750 juta merangkumi pembinaan kilang baharunya di Ayer Keroh di sini dalam tempoh lima tahun bermula tahun hadapan.

    Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata modal yang dipertingkatkan itu menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan syarikat itu sebanyak RM1 bilion dalam tempoh kira-kira 50 tahun beroperasi di Melaka.

    Beliau berkata Koa Denko di Melaka menyumbang 20 peratus daripada jumlah keluaran mikrocip di seluruh dunia bagi membantu perkembangan teknologi baharu dan produk keluaran syarikat itu yang dieksport antaranya ke Amerika Syarikat, Hong Kong, China, Jerman, Singapura dan Vietnam.

    “Permintaan serta penawaran bagi industri ini adalah amat baik sehingga syarikat ini mengambil keputusan mengembangkan operasinya menerusi pembinaan kilang baharu dan asrama pekerja di Ayer Keroh.

    “Kita menjangkakan nilai produksi kilang ini berjumlah RM180 juta setahun pada waktu ini dan akan meningkat kepada RM1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang setelah siapnya pembinaan kilang baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penyewaan Asrama Pekerja Zon Industri Ayer Keroh Baharu antara Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd dan PDG Asset Sdn Bhd.

    Ab Rauf berkata pembinaan kilang baharu itu juga dijangka bakal menawarkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk Melaka dan sehingga kini sejumlah 823 pekerja termasuk 565 warga tempatan bekerja di kilang tersebut yang beroperasi di Batu Berendam.

    Beliau berkata selain itu, syarikat tempatan juga berpeluang menjadi vendor kepada kilang itu untuk membekalkan peralatan atau mesin bagi pengeluaran produk mereka. – Bernama

    Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) diiringi Pengarah Urusan Koa Denko, Seiji Ozawa (kanan) pada lawatan kerja di Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd di sini, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda