Friday, February 7, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kolaborasi NiAT- BIL tingkatkan ekosistem inovasi Brunei

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan NiAT

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Makmal Inovasi Brunei (BIL) dan Network Integrity Assurance Technologies Sdn Bhd (NiAT) menubuhkan sebuah kolaborasi baharu yang menggabungkan yang terbaik daripada kedua-dua buah organisasi serta menyediakan peluang baharu bagi komuniti masing-masing.

    Dalam kenyataan yang diterima daripada NiAT, hari ini, kerjasama berkenaan menggabungkan kekuatan kedua-dua organisasi untuk menjana masa hadapan yang lebih baik bagi kesemua yang terlibat.

    Kolaborasi antara BIL dan NiAT akan membolehkan kedua-dua organisasi untuk memanfaatkan kepakaran dan sumber bagi menyediakan pengalaman dan perkhidmatan yang dipertingkatkan kepada ahli-ahli, pelanggan dan komuniti di mana kerjasama itu meliputi projek bersama, acara dan inisiatif yang direka untuk menyatukan orang ramai, mempromosikan inovasi dan pertumbuhan serta menyokong komuniti.

    NiAT akan dimasukkan dalam rangka kerja BIL yang merangkumi pengenalan kesedaran mengenai bidang-bidang tumpuan teknologi seperti analisis data, pembelajaran mesin dan memasukkan AI ke dalam OBSERVE iaitu sebuah platform yang membolehkan penggunanya untuk mengintegrasikan pelbagai set data.

    Pengerusi BIL, Haji Mohammad Amirul Shahnoel bin Haji Mohammad Noeh mengulas pentingnya untuk membangunkan dan membina sebuah ekosistem inovasi yang kukuh khususnya dalam bidang-bidang pembangunan bakat dan penggunaan platform OBSERVE.

    Lim Ming Soon dan Haji Mohammad Amirul Shahnoel bergambar ramai bersama warga BIL dan NiAT.
    Lim Ming Soon dan Haji Mohammad Amirul Shahnoel semasa majlis penandatanganan perjanjian kolaborasi antara BIL dan NiAT.

    Beliau menambah bahawa menerusi kerjasama itu, kedua-dua belah pihak dalam dapat menjana sinergi ke arah mencapai matlamat bersama yang membawa ke arah kejayaan dan kecekapan yang lebih besar.

    Pada masa yang sama, ia juga menggalakkan dan menyokong penggunaan platform yang ditawarkan oleh NiAT untuk memudahkan inovasi yang boleh membantu dalam mempercepatkan perkembangan dan inovasi.

    Di samping itu, beliau menyatakan bahawa pelaburan dalam membangunkan bakat adalah amat penting untuk memastikan bahawa tenaga kerja mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menyesuaikan diri kepada permintaan pasaran dan teknologi yang berubah.

    Sementara itu, Pengurus Besar BIL, Freddie Ting menyatakan perasaan amat teruja dengan kerjasama bersama NiAT di mana kerjasama itu sejajar dengan misi mereka untuk menyediakan tahap perkhidmatan tertinggi dan sokongan kepada komuniti mereka dengan pendedahan serta kemungkinan pelbagai teknologi yang digunakan oleh NiAT.

    Kolaborasi itu, tambahnya, akan membantu untuk mengembangkan lagi jangkauan, mendalamkan impak serta terus menyediakan nilai kepada ekosistem inovasi.

    Ketua Pegawai Eksekutif NiAT, Lim Ming Soon pula menyatakan bahawa pihaknya amat teruja untuk bekerjasama dengan BIL bagi memperkenalkan pengalaman baharu dan menunjukkan versatil serta skop penyelesaian teknologi mereka.

    Beliau turut menyatakan harapan bahawa kerjasama itu akan mengukuhkan lagi hubungan di antara NiAT dengan BIL.

    Kerjasama itu, tambahnya, adalah selaras dengan visi NiAT dalam menyumbang kepada pertumbuhan industri teknologi di Brunei supaya dapat mengembangkan lagi ekosistem inovasi negara dan menjadi sebahagian daripada pemacu dalam menjana sebuah negara pintar yang terhubung ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    Kolaborasi di antara NiAT dan BIL bermula dengan serta-merta di mana kedua-dua organisasi amat teruja untuk memulakan bab baharu yang menarik itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda