PARIS – Christian Dior kembali menjadi tumpuan penggemar fesyen pada pertunjukan Minggu Fesyen Musim Bunga/Panas 2022 yang berlangsung di Musee Rodin baru-baru ini.
Koleksi terbaharu Dior didominasi oleh warna-warna neutral seperti putih, hitam, perak dan champagne, hasil ciptaan pereka fesyen Dior, Maria Grazia Chiuri. Salah satu koleksi yang cukup menarik perhatian ialah gaun kelabu yang dipenuhi dengan corak sulaman. Chiuri telah menjadikan teknik sulaman sebagai hiasan utama dalam koleksi ini. Motif-motif geometri yang ada pada gaun disulam dengan benang-benang perak sehingga memberikan kesan glamor namun ringkas untuk wanita moden.
Model turut memperagakan jaket serba putih dengan gaun tanpa hiasan yang keterlaluan, tenunan jacquard perak dari gaun yang bersulam halus diperbuat daripada tulle ringan dan skirt kain krep kelabu. Dari segi stail, trend 60an turut diperkenalkan seperti kolar Peter Pan pada blaus organza ataupun sut tuksedo dengan kelepet jaket satin. – AP
