Oleh Nurdiyanah R.
Menjadi harapan sebuah negara untuk memiliki rakyat yang rajin berusaha, berinovasi, rela berjarih dan berkarih, hingga mendorong keupayaan masyarakat ke arah kematangan dan sikap berdikari demi menjana perekonomian diri, keluarga dan juga negara.
Menyebut mengenai Satu Kampung Satu Produk (1K1P), setiap kampung menerusi Majlis Perundingan Kampung (MPK) di seluruh daerah masing-masing kini dilihat semakin mengorak langkah proaktif dan progresif untuk berjuang mengetengahkan produk-produk penduduk mereka untuk dikomersialkan dalam pasaran tempatan dan juga luar negara sama ada berbentuk makanan, kraf tangan, herba-herba tradisional dan sebagainya.
Dalam pada itu, kemeriahan semangat juang itulah yang juga ditonjolkan oleh salah sebuah kampung yang terletak di atas perairan di sekitar Kampong Ayer iaitu Kampung Sungai Bunga atau dikenali sebagai Tanjung Kindana yang sememangnya sentiasa bersatu dan sehati sejiwa dalam mengetengahkan keistimewaan produk-produk berkonsepkan pemprosesan makanan laut, salah satunya ialah keropok udang menerusi produk 1K1P bagi MPK Kampung Sungai Bunga.
Tercetusnya produk berasaskan makanan laut
Semasa ditemui penulis, Pemangku Ketua Kampung Sungai Bunga, Awang Zaini bin Haji Salleh menjelaskan bahawa projek pemprosesan makanan laut ini telah dijalankan sejak tahun 2013 lagi yang mana antara matlamat mereka mengetengahkan produk berasaskan sumber ini sebagai pengeluaran utama disebabkan kampung berkenaan letaknya di pesisiran sungai dan kebanyakan penduduk kampung ini sangat aktif sebagai nelayan.
“Pada dasarnya, sebanyak 85 peratus hasil tangkapan udang dan ikan oleh para nelayan di kampung ini dibekalkan kepada pihak MPK. Manakala pembelian sumber laut itu akan mengikut harga pasaran.


“Secara tidak langsung, ia sudah setentunya dapat memberi kemudahan bagi meringankan beban antara dua pihak sekali gus sama-sama meningkatkan perekonomian harian kami,” ujarnya lagi yang turut berkongsi cerita bahawa kampung berkenaan turut menyediakan perkhidmatan berkonsepkan lawatan dan inap desa sejak tahun 2015 lagi.
Terima sambutan hangat
Pada masa kini, Awang Zaini menya-takan terdapat seramai 10 orang ahli Biro Wanita MPK Sungai Bunga. Mereka juga turut dibantu oleh ahli-ahli Biro Ekonomi dan Pelancongan MPK Sungai Bunga dan juga penglibatan para belia dan beliawanisnya yang sentiasa aktif dalam sama-sama mempergiatkan ekonomi setempat dari semasa ke semasa.
“Kebiasaannya mereka menjalankan perusahaan berkonsepkan bergotong-royong jika tempahan terlalu banyak namun mereka juga melakukan pengeluaran secara persendirian. Hal ini bagi memastikan keluaran produk dapat dihasilkan secara berterusan dari hari ke hari.”
“Sambutan terhadap produk keropok udang ini juga dilihat semakin memberangsangkan sehingga kadang-kadang menyebabkan tidak ‘menang tangan’ atau tidak dapat dipenuhi semuanya disebabkan kami hanya mampu menghasilkan produk berjumlah terhad,” tambahnya dengan penuh ketulusan.
Jelasnya, tempahan turut dibukakan kepada orang ramai yang tidak berkesempatan membeli secara langsung. Hal ini juga memberi peluang kepada para penduduk di kampung berkenaan yang menjalankan per-khidmatan ‘runner’ untuk sama-sama berpeluang meraih rezeki pendapatan mereka apabila pihak MPK memerlukan bantuan penghantaran yang sekali gus dapat berbagi rezeki bersama.
Selain itu, pihak MPK juga menghantar produk-produk mereka di petak jualan ‘Made in Brunei’ di bawah inisiatif Darussalam Enterprise (DARe) dan beberapa buah pasar raya di negara ini.
Anggaran enam hingga sembilan kilo udang segar sehari
Sementara itu, Ketua Biro Wanita MPK tersebut, Dayang Serinah binti Haji Tarang Wahab mengungkapkan perkongsian dalam menghasilkan produk keropok udang. Mereka kebiasaannya hanya memproses enam atau sembilan kilo udang segar dalam sehari. Manakala mesin pengeringan makanan pula hanya mampu menampung kira-kira tiga kilo setiap penggunaan.
Udang segar perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dikisar dan dicampur bersama bahan-bahan asas antaranya tepung kanji, lada sulah dan juga garam dalam mixer. Apabila adunan sebati maka dibentuk memanjang seakan-akan seperti sosej bersaiz besar.
Setelah itu, adunan yang telah dibentuk itu hendaklah dikukus sehingga kembang dan dicelup pula dengan pewarna merah sebelum ia disejukkan di dalam peti sejuk selama 24 jam atau semalaman.
Seterusnya proses pemotongan pula dilakukan pada adunan yang sudah disejukkan iaitu dengan memotong secara kepingan bersaiz nipis sebelum dijemur seharian sehingga kering secukupnya jika di bawah terik matahari atau pun menggunakan mesin pengeringan yang mengambil masa kira-kira lapan jam.
Lebih mementingkan kualiti produk
Di samping itu, Awang Zaini juga turut menekankan bahawa dari segi persaingan sememangnya dihadapi kerana itulah liku-liku dalam meniti dunia keusahawanan.
Namun apa yang terpenting ialah kualiti produk yang dihasilkan itu mestilah ditekankan terutamanya dari segi tahap kebersihan dan rasanya berbanding nilai kuantitinya. Itulah prinsip yang sentiasa mereka semai dalam mengetengahkan setiap keluaran bagi orang ramai yang bukan hanya terdiri dari masyarakat tempatan bahkan juga pelancong luar negara.
Tambahnya, pada masa yang sama, pihak MPK juga sentiasa memantapkan lagi kemahiran dalam bidang pemprosesan makanan laut yang mana enam orang ahli biro wanita MPK berkenaan juga pernah mengikuti kursus pemprosesan makanan laut di luar negara antaranya bagi mempelajari pembuatan nuget ikan, keropok lekor dan sebagainya. Dengan adanya pengalaman berkenaan, secara tidak langsung mencetus penambahan variasi produk berasaskan makanan laut bagi MPK berkenaan.
“Bersyukur kepada Allah SWT, meskipun kita mengalami krisis pandemik, namun segalanya tersimpan kemanisan hikmah di mana penerimaan produk-produk dan perkhidmatan keluaran tempatan di negara kita semakin menggalakkan dari semasa ke semasa,” katanya semasa mengakhiri temu bual bersama penulis.
merakamkan kegembiraan melihat kegigihan golongan belia dan beliawanis di kampung berkenaan dalam sama-sama memperkasakan misi MPK dari semasa ke semasa.