Tuesday, December 17, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited bantu masyarakat celik digital

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Ke arah usaha meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kehidupan seharian daripada komuniti yang dikenal pasti, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) Negara Brunei Darussalam terus komited dalam mengungkayahkan program Digital for All sejak November lalu.

    Sehubungan itu, sehingga Mac ini, kira-kira 100 peserta telah mengambil bahagian dalam program berkenaan yang terdiri daripada ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), komuniti kebajikan, dan majlis perundingan kampung (MPK) di keempat-empat daerah.

    Program yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan pejabat daerah itu telah dimuatkan dengan pembentangan dan demonstrasi praktikal yang disampaikan oleh Tech One Global.

    Semasa latihan berkenaan, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai topik, termasuk asas dalam Microsoft Office, keselamatan dalam talian dan keselamatan siber, asas e-dagang dan aplikasi mudah alih yang berguna.

    Para peserta telah berkongsi maklum balas positif program berkenaan, dan telah diberikan kesedaran tentang kepentingan menjadi celik digital.

    Melaluinya, mereka dilihat begitu teruja dalam mengaplikasikan kemahiran baharu yang diperoleh bagi kegunaan kehidupan seharian mereka dengan lebih mudah dan selesa.

    Dengan perlaksanaan program berkenaan, ia bertujuan untuk meningkatkan pembangunan kapasiti dalam teknologi digital, membangunkan kemahiran digital dan penggunaan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dalam kalangan masyarakat di negara ini.

    Para peserta mendapat bimbingan daripada kakitangan Tech One Global. – Gambar serahan AITI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda