Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited cegah jenayah rasuah

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA), Biro Mencegah Rasuah (BMR) telah mengadakan Majlis Pelancaran dan Pemberigaan Program Training of Trainers yang berlangsung di Ibu pejabat BMR, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran berkena-an ialah Pengarah BMR, Datin Paduka Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani yang menekankan bahawa BMR sebagai satu-satunya agensi penguat kuasa undang-undang yang diberi mandat dan tanggungjawab dalam menjalankan penyiasatan ke atas kesalahan-kesalahan rasuah, sentiasa komited dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

    Dalam melaksanakan tugas yang diberikan, BMR menggunakan tiga pendekatan dalam memerangi rasuah, iaitu dari segi penyiasatan, pendidikan dan pencegahan.

    Beliau menjelaskan, bagi bidang pencegahan dan pendidikan, dalam usahanya menyebarluaskan kesedaran dan meningkatkan kefahaman orang ramai tentang kesalahan rasuah, BMR telah mempelbagaikan inisiatif atau langkah pencegahan rasuah agar ia lebih berkesan, dan sesuai dengan peredaran masa.

    Kini dalam usia 40 tahun BMR, sejak penubuhannya, ia telah mempelbagaikan usaha pencegahan rasuah sesuai dengan keperluan dan peredaran zaman.

    Datin Paduka Hajah Anifa Rafiza semasa menyampaikan ucapan sekaligus menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Pemberigaan Program Training of Trainers semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan BMR
    Para pegawai dan kakitangan BMR semasa mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Kubah Makam Diraja.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Datin Paduka Hajah Anifa Rafiza turut mengongsikan bahawa pada tahun depan, BMR akan membuat perubahan lagi dalam usaha menyebarluaskan kesedaran dan meningkatkan kefahaman orang ramai tentang jenayah rasuah, dengan menambah lagi inisiatif pencegahan rasuah menerusi memperkenalkan Program Training of Trainers.

    Program berkenaan bagi mengenal pasti bidang yang berisiko yang terdedah kepada gejala rasuah di kementerian dan agensi masing-masing di mana tindakan susulan akan dapat diambil dengan segera.

    Ia juga diperkenalkan untuk menangani gejala rasuah di organisasi masing-masing secara lebih bersistematik dan holistik.

    Beliau begitu percaya bahawa dengan pelaksanaan program berkenaan, penjawat awam dan juga swasta yang dilantik akan dapat menjadi jambatan penghubung di antara organisasi masing-masing dengan BMR dalam membantu menangani isu tadbir urus, integriti dan anti rasuah secara menyeluruh dan membudayakan ketelusan serta akauntabiliti.

    Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar semua sama-sama berganding bahu menentang rasuah di negara ini.

    “Tidak mustahil jenayah rasuah boleh dibanteras hingga sifar di negara ini dan seterusnya mendukung hasrat negara dan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang bebas daripada rasuah,” ujarnya. Turut hadir pada majlis itu ialah wakil-wakil dari kementerian, jabatan, badan awam dan sektor swasta, serta pegawai-pegawai BMR.

    Selain pelancaran program, antara acara yang diadakan sempena Sambutan HARA pada tahun ini adalah Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit yang telah diadakan di Kubah Makam Diraja pada 8 Disember lalu.

    Bacaan khutbah Jumaat bertajuk ‘Berintegriti dalam Pekerjaan’, juga telah dibacakan di semua masjid dan surau pada 9 Disember lalu dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Di samping itu, BMR turut bekerjasama bersama Bahagian Radio, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) bagi mengadakan Kuiz Radio, kelmarin. HARA ini diraikan setiap 9 Disember, sempena memperingati penglibatan dan komitmen Brunei sebagai salah sebuah negara ahli kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), sejak menandatangani konvensyen berkenaan pada 2003.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda