Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited tangani masalah pendengaran

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Pendengaran merupakan satu aset kehidupan yang memainkan peranan penting untuk setiap individu menjalani kehidupan seharian.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan seorang daripada 10 orang akan mengalami kehilangan pendengaran yang signifikan di seluruh dunia menjelang 2025.

    Di Negara Brunei Darussalam pula, statistik yang diperolehi daripada Perkhidmatan Audiologi telah menunjukkan bahawa pada 2022, seramai 162 pesakit baharu dikenal pasti mengalami masalah kehilangan pendengaran tahap ringan ke sederhana yang melibatkan sebelah telinga.

    Daripada jumlah itu, seramai 61 orang adalah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, manakala, bagi masalah kehilangan pendengaran yang di tahap teruk ke sangat teruk, terdapat seramai 33 orang yang dikenal pasti dan 17 daripada jumlah berkenaan merupakan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar) mengongsikan statistik berkenaan dalam perutusan sempena Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2023 dengan tema ‘Penjagaan Telinga dan Pendengaran untuk Semua! Mari Jadikan Ia Satu Realiti’.

    Dalam perutusan Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa statistik bagi masalah kehilangan pendengaran yang melibatkan kedua-dua telinga pula, seramai 540 pesakit mengalami masalah di tahap ringan ke sederhana dengan 70 daripadanya adalah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

    Sementara itu, 94 pesakit telah dikenal pasti mengalami masalah kehilangan pendengaran di tahap teruk ke sangat teruk yang mana 92 pesakit terdiri daripada individu yang berumur 12 tahun ke atas.

    Di Negara Brunei Darussalam, ujar beliau, lebih 60 peratus permasalahan telinga dan pendengaran dapat ditangani di peringkat rawatan asas.

    Statistik yang diperolehi antara 2021 hingga 2022 dari Jabatan Otorinolaringologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) juga telah menunjukkan, seramai 1,980 orang pesakit yang bermasalah telinga dirujuk dari klinik-klinik atau pusat-pusat kesihatan ke klinik pakar otorinolaringologi.

    “Antara empat masalah yang sering dialami pesakit ialah masalah tahi telinga, benda asing dalam telinga, jangkitan telinga dan kurang pendengaran,” kongsi beliau lagi.

    Salah satu komponen terpenting dalam memperkasakan fasiliti kesihatan rawatan asas untuk mengintegrasikan penjagaan telinga dan pendengaran di peringkat berkenaan, tambahnya, adalah dengan memberikan kemahiran yang relevan melalui latihan seperti yang dianjurkan oleh Badan WHO.

    Ke arah itu, Kementerian Kesihatan melalui kerjasama antara Jabatan Otorinolaringologi, Perkhidmatan Kesihatan Asasi dan Perkhidmatan Kejururawatan sedang menggubal kurikulum program latihan Aural Care for Nurses in the Community. Beliau menjelaskan, dengan program berkenaan, ia diharap akan menjadi satu realiti sebagai komitmen untuk menjana misi di bawah WHO.

    Bersempena Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2023 ini juga, WHO akan melancarkan sebuah manual latihan iaitu Primary Ear and Hearing Care Training Manual pada 3 Mac.

    Yang Berhormat Dato berkata, manual berkenaan bertujuan untuk digunakan sebagai buku panduan latihan kemahiran bagi doktor, petugas kesihatan seperti jururawat di fasiliti kesihatan (primary healthcare) atau di bawah pemantauan doktor, dan ahli profesional kesihatan bersekutu seperti audiologis yang berkepakaran dalam permasalahan telinga dan pendengaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda