Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN – Kehadiran Porsche Macan dengan slogan berbunyi, ‘Kehidupan, diperhebatkan’ amat tepat dan bersesuaian dengan penampilannya sebagai kenderaan SUV mesra keluarga yang cukup mewah dan sportif.
Macan dengan enjin empat silinder 2 liter mampu menghamburkan 252 kuasa kuda, dengan tork puncak 370Nm boleh dicapai dari 1,600rpm hingga 4,500rpm. Macan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/jam dalam masa hanya 6.7 saat.
Dengan saiz lebih kecil daripada Porsche Cayenne, Macan juga mempunyai saiz enjin yang lebih kecil namun kuasanya tidak dikompromi. Ia dilengkapi transmisi dual klac 7-kelajuan yang cemerlang dengan sistem pengurusan cengkaman Porsche.
Walaupun Macan kereta berprestasi tinggi tetapi pelepasan CO2 sederhana iaitu antara 172 hingga 167 g/km dan seperti model Macan sebelum ini juga mencapai sasaran pelepasan karbon menurut standard Euro 6.
Walaupun bersaiz SUV dan lebih kecil, Macan mampu memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan seperti Porsche Cayenne tetapi amat responsif berbanding kebanyakan kereta sport yang lain.
![Porsche Macan kenderaan SUV mesra keluarga yang cukup mewah dan sportif.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/macan-1_250217.jpg)
![Ruang dalaman yang cukup mewah dengan kawalan suhu dwi zon.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/macan-2_250217.jpg)
![Tempat duduk belakangnya juga cukup selesa untuk tiga orang penumpang.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/macan-3_250217.jpg)
Porsche Macan juga mempunyai butang sport bagi membolehkan pemandu merasai kuasa tinggi enjinnya di samping memberikan respons yang kuat untuk pengemudian dan melancarkan penukaran gear walaupun dalam kelajuan tinggi.
Porsche memang mementingkan prestasi brek menjadikan Macan kenderaan yang selamat kerana cengkaman yang kuat dan boleh dilaraskan sesuai dengan kuasa enjinnya.
Dengan sensor pemantauan berterusan arah memandu dan halaju Porsche Stability Management (PSM) pula menstabilkan kenderaan apabila perlu dengan menggunakan brek strategik roda tertentu bagi membolehkan kuasa brek diaplikasikan sepenuhnya.
Kokpit ergonomik Macan dilengkapi pelbagai fungsi yang biasa dilihat di dalam kereta sport. Ia juga mempunyai kawalan suhu dwi zon, kerusi Alcantara kulit (boleh laras secara elektronik), sensor depan dan letak kereta, radio digital dan sistem bunyi yang sangat baik.
Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM) adalah standard bagi semua model yang bertindak sebagai sistem amaran pertukaran lorong (pilihan) dan bonet belakang boleh laras secara elektronik.
Ruang kargo Macan sedikit kecil daripada saingannya tetapi masih pilihan yang praktikal. Ada banyak ruang bagi penumpang di hadapan dan Macan cukup lapang untuk tiga penumpang dewasa duduk sebelah menyebelah di belakang.
Pengenalan lain termasuk roda 18-inci dan angkup brek membolehkan pemandu memilih forma pelbagai warna dan kemasan untuk menyerlahkan lagi penampilan kereta semasa di jalan raya.
Lampu siang hari adalah standard pada semua model. Dengan lampu utama Bi-Xenon, sumber cahaya yang menakjubkan adalah daripada empat lampu sorot LED dalam setiap lampu membolehkan pengguna jalan raya untuk melihat lebih baik dan menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih selamat.
Sementara itu, lampu LED belakang dengan reka bentuk tiga dimensi merupakan penghormatan kepada kereta super sport 918 Spyder untuk memberikan penampilan yang lebih elegan dan tambahan kepada ciri-ciri keselamatan.
Porsche Macan baru kini boleh didapati di pasaran Brunei dan mereka yang ingin melihat dengan lebih dekat dan mengalami sendiri kemewahan SUV kompak ini dialu-alukan untuk melawat Bilik Pameran Porsche di Beribi.