Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kompleks Sarawak Petchem perkukuh kedudukan Malaysia

    KUALA LUMPUR, 23 JULAI – Penubuhan kompleks metanol Sarawak Petchem Sdn Bhd bernilai RM7 bilion merupakan satu pencapaian penting untuk membantu menjadikan Malaysia sebagai pengeluar metanol utama di rantau Asia Pasifik, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    “Ia bukan sahaja memajukan keupayaan Malaysia dalam industri kimia seperti digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030 (CIR 2030) tetapi juga memacu penciptaan pekerjaan dan merangsang ekonomi Malaysia dengan menawarkan peluang kepada industri serta perusahaan kecil dan sederhana, ” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pencapaian penting oleh Sarawak Petchem itu merupakan bukti daya tarikan Malaysia sebagai destinasi untuk pelaburan berskala besar dan berimpak tinggi.

    Beliau berkata projek itu akan menggalakkan pertumbuhan dan pelaburan selanjutnya di rantau ini dan memberi jaminan bahawa MIDA akan terus memberikan kemudahan yang diperlukan kepada Sarawak Petchem bagi memenuhi sasaran syarikat untuk menjadi entiti terkemuka dalam industri petrokimia global.

    Pengerusi Petchem Sarawak, Tan Sri Dr Abdul Aziz Husain pula berkata projek itu akan memangkin lebih banyak pembangunan ekonomi di rantau ini, memacu penciptaan pekerjaan, memupuk pertumbuhan mampan dan meletakkan Sarawak secara strategik sebagai pemain utama dalam industri petrokimia global.

    Dalam pada itu, MIDA berkata kompleks metanol Sarawak Petchem yang dilancarkan di Tanjung Kidurong, Bintulu itu dijangka akan memacu pelaburan seterusnya dan merangsang pengeluaran produk hiliran lain. – Bernama

    Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa Persidangan Dewan Negara sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda