Komposer lagu Diari Hatimu dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Ferdy Khalid NS, 74, meninggal dunia di kediaman anaknya di Taman Eco Flora, Johor Bahru, jam 9:45 malam semalam.
Anak sulungnya, Mohd Fauzi mengatakan ayahnya yang menghidap kanser prostat, menghembuskan nafas terakhir sebaik tiba di rumah adiknya dari hospital.
“Ambulans menghantarnya ke rumah adik dan ketika hendak menurunkannya, ayah langsung tidak menunjukkan maklum balas. Kakitangan perubatan ambulans kemudian mengesahkan ayah sudah meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, anak kelimanya, Mohd Faizal berkata, arwah ayahnya sudah lama terlantar di rumah akibat kanser prostat tahap empat.
“Keadaan nafas ayah tidak stabil, selepas subuh (Sabtu lalu). Jadi sekitar jam 9 atau 10 pagi, kami membawa ayah ke Hospital Sultanah Aminah.
“Ayah ditahan di zon merah sehingga Maghrib dan selepas itu doktor unit kecemasan menasihatkan ayah dibawa balik ke rumah sebab tiada rawatan lain boleh dilakukan kerana kanser sudah merebak ke semua organ.
“Doktor nasihatkan agar bawa balik rumah supaya adik beradik dan saudara serta sahabat boleh melawat,” katanya memaklumkan mereka mempunyai lapan adik beradik.
“Manakala pengebumian jenazah akan dibuat di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Danga pada jam 10 pagi,” katanya.
Harian Metro pada 10 Januari 2022 melaporkan Allahyarham Khalid atau nama sebenarnya, Jahi Hashim dirawat di hospital akibat kanser prostat dan tulang.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021, Allahyarham Khalid pernah diserang sakit jantung dan terpaksa dipasang dua ‘spring’ pada jantungnya. – Agensi