Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Sebanyak 53 pain darah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah yang dianjurkan oleh Kedutaan Thailand di Brunei Darussalam, hari ini, bagi membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi terutama pada waktu kecemasan.
Kempen diadakan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dari pukul 8:30 pagi hingga 3:30 petang bagi komuniti dan warga Thailand di negara ini.
Antara tujuan kempen adalah sebagai dedikasi yang baik kepada Duli Yang Teramat Mulia Puteri Bajrakitiyabha Narendiradebyavati Krom Luang Ratchasarinee Siripatchara Maha Watchara Ratchathida agar dapat pulih dan kembali sihat sepenuhnya daripada penyakitnya.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menyokong Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS dalam menambah bekalan darah yang boleh dipercayai semasa situasi kecemasan.
Hadir semasa kempen tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai.
Pada kempen kali ini, Puan Yang Terutama menyampaikan buah tangan sebagai tanda penghargaan kepada para penderma serta pegawai dan kakitangan di kedutaan yang mengambil bahagian.





