Tuesday, April 22, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kondisi sekolah membimbangkan ibu bapa

    Selaku ibu bapa kepada pelajar yang belajar di salah sebuah sekolah berprestij di Jalan Kebangsaan, saya ingin menekankan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat akan keadaan sekolah tersebut.

    Bagi saya, sekolah itu sudah berada dalam keadaan yang tidak baik malah masalah itu telah dikemukakan kepada pihak pentadbirannya. Walau bagaimanapun tidak ada apa-apa tindakan yang dilakukan oleh pihak sekolah tersebut.

    Salah satunya ialah bilangan meja dan kerusi yang tidak mencukupi di kafeteria sekolah berkenaan sehingga menyebabkan pelajar dan ibu bapa terpaksa makan di dalam kereta. Separuh daripada kipas yang terdapat di kafeteria tersebut juga tidak berfungsi malah sudah lama dibiarkan begitu sahaja.

    Oleh yang demikian, kebanyakan pelajar yang makan di kafeteria itu terpaksa bertahan berdepan dengan keadaan yang panas. Selain itu juga, kafeteria tersebut juga kurang menyediakan tong sampah kitar semula yang baik untuk pelajar-pelajar.

    Seterusnya, satu isu yang ingin saya bangkitkan di sini ialah kekurangan bilik persalinan di mana permohonan untuk mendapatkan bilik persalinan ini telah dihadapkan kepada pihak pentadbiran sebelum ini.

    Keadaan tersebut menyebabkan kebanyakan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka ke masjid berhampiran atau stadium untuk mereka bertukar pakaian dan seterusnya kembali ke sekolah untuk meneruskan sesi pembelajaran di sebelah petang.

    Manakala bagi pelajar yang tidak mempunyai pilihan, mereka terpaksa menukar pakaian mereka dalam tandas sekolah tersebut. Apa yang menyedihkan, kebanyakan tandas pula tidak mempunyai air malah ada juga saluran paip air yang tersumbat.

    Satu-satunya kerja pembaikan yang telah dilakukan setakat ini adalah pintu tandas yang telah dicat semula. Apa yang perlu saya sarankan di sini untuk pihak sekolah menurunkan poster dan sepanduk lama yang ditampal di dinding sekolah berkenaan.

    Malah ada juga sepanduk yang telah dilekatkan di situ sejak tahun 2009 lagi. Selain itu juga, saya ingin merujuk kepada taman permainan sekolah tersebut yang juga boleh menyebabkan risiko kepada pelajar. Begitu juga dengan kawasan letak kereta yang turut mencetuskan satu isu.

    Dengan bilangan pelajar yang semakin banyak di sekolah tersebut setiap tahun, ibu bapa berdepan dengan masalah utama iaitu tempat letak kereta yang kecil malah ada juga ibu bapa yang meletakkan kenderaan mereka di lokasi yang tidak selamat dan berbahaya.

    Selain itu, tanda jalan raya seperti lintasan Zebra juga semakin mengabur dan disarankan untuk dicat semula. Kakitangan keselamatan juga perlu menjalani latihan semula kerana keberadaan mereka tidak dapat ditemui khususnya ketika kesesakan lalu lintas di kawasan sekolah tersebut.

    Justeru, bolehkah pihak-pihak yang berkuasa untuk menyiasat perkara ini, sangat menyedihkan melihat salah sebuah sekolah berprestij di negara ini semakin usang dan tidak terurus. – Sedih namun benar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda