Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi pengalaman pendidikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Untuk memajukan diri, kita mesti mempunyai keinginan untuk mempelajari benda yang baharu.

    Pendidikan bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada pembangunan diri dan memajukan kerjaya awda tetapi masyarakat dan komuniti juga dapat meraih hasilnya iaitu dalam melahirkan penduduk yang berpendidikan tinggi.

    Kajian telah menunjukkan bahawa masyarakat yang mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi adalah cenderung lebih sihat serta mempunyai kadar kestabilan ekonomi dan kesaksamaan lebih tinggi.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju yang juga ahli Majlis Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam sesi perkongsian semasa Majlis Penyampaian Sijil Program Seeds for the Future 2022 yang berlangsung di Ruang Legar, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, UBD, hari ini.

    Beliau berkata lagi bahawa pembelajaran hanya dapat dilaksanakan jika kita mendedahkan diri kepada persekitaran, budaya dan pengalaman yang berbeza.

    Dayang Suzannawati ketika sesi perkongsian semasa majlis berkenaan.

    Inilah keindahan Program Seeds for the Future Huawei, tambahnya, di mana golongan muda dari negara berlainan dapat berkongsi fikiran dan idea yang akan dapat memperluaskan lagi pandangan mereka.

    Di samping itu, beliau berkata bahawa terdapat peluang pekerjaan di luar Brunei dan menasihatkan pelajar-pelajar Brunei yang diberikan peluang berkenaan untuk merebutnya kerana ia setentunya akan memberikan mereka pendedahan serta pembelajaran yang bernilai.

    “Bukan sahaja dari segi pembelajaran kemahiran teknikal berkaitan kepada industri ICT tetapi juga dalam kemahiran lembut dan kepimpinan awda. Terdapat beberapa benda dalam hidup yang tidak dapat diajar dalam bilik darjah, iaitu pengalaman hidup,” tambahnya.

    Dayang Suzannawati berkata lagi, walaupun amat sukar untuk meninggalkan rumah mereka atau meninggalkan negara tetapi apa yang merupakan satu cabaran sukar, jika kita bertahan serta terus memberikan tumpuan kepada gambaran yang lebih besar, iaitu pengalaman belajar, pendedahan kepada pelbagai suasana pekerjaan, perkongsian idea pelbagai orang daripada pelbagai budaya, mereka akan berkembang bukan sahaja dari segi kemahiran dan ilmu pengetahuan tetapi bagaimana mereka melihat kehidupan.

    “Awda menjadi terbuka kepada melihat benda dalam cara yang berlainan, dengan awda akan berpeluang untuk berinteraksi dengan orang lain daripada budaya yang berlainan,” ujarnya.

    Ulasnya lagi, “Awda belajar daripada pelbagai orang untuk melakukan perkara berbeza daripada awda dan daripada masyarakat kita.”

    Apabila mereka kembali ke Brunei, pengalaman mereka itu akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada diri mereka tetapi kepada masyarakat dan komuniti dengan pengalaman dunia yang dibawa pulang bersama mereka.

    Dayang Suzannawati dalam ucapannya juga menggalakkan para pelajar berani melangkah keluar dari zon selesa kerana hanya apabila berani untuk melakukan perkara yang tidak selesa, mereka akan menyaksikan pertumbuhan.

    Terdahulu, Dayang Suzannawati menyatakan bahawa program itu merupakan pemangkin bagi belia Brunei untuk membangunkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam sektor ICT, belajar mengenai teknologi terkini, Internet of Things (IoT), 5G dan kecerdasan buatan (AI).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda