Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kongsi pengetahuan tradisi kuih-muih Nyonya

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Setiap sentuhan kulinari itu adalah jendela kekayaan budaya. Pastinya setiap kaum di mana pun berada memiliki sentuhan masakan, minuman dan kuih-muih tradisi dengan tarikan istimewa tersendiri yang sekali gus melambangkan nilai identiti golongan tersebut. 
     
    Setiba sahaja Perayaan Tahun Baharu Cina, sejenak penulis teringat pengalaman berbicara dengan salah seorang warga emas di Daerah Tutong semasa duduk bersantai menikmati sarapan pagi di salah sebuah kedai berhadapan Jeti Sungai Tutong. 
     
    Mengimbas kembali detik-detik perbualan santai suatu ketika dahulu bersama insan yang hanya ingin dikenali dengan panggilan Aunty Jane pastinya satu rezeki jalinan silaturahim yang tiada terhingga. 
     
    Insan yang begitu ramah dan mudah mengukir senyuman pada wajahnya serta tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan resipi peribadinya khususnya dalam memartabatkan kuih-muih Nyonya yang diwarisinya daripada keluarga sebelah ibu beliau yang berketurunan Nyonya dari negara jiran.  
     
    KUIH ANG KU BERBENTUK KURA-KURA
     
    Salah satu kuih-muih tradisi Nyonya yang dikongsikan oleh Aunty Jane ialah kuih ang ku di mana jelasnya, kuih ang ku  berbentuk bulat kecil serta bujur sehingga berbentuk seperti kulit kura-kura di sebelah luarannya adalah sejenis kuih tradisional kaum Cina popular yang diwarisi secara turun-temurun oleh kaum Baba dan Nyonya. 
     
    Chai kue dimasak secara kukus yang diperbuat daripada adunan tepung beras dan tepung ubi dengan berintikan sengkuang, lobak dan udang kering serta ditabur dengan bawang goreng pada permukaannya. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Pulut tai tai yang enak dimakan bersama kaya. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Kuih ang ku berbentuk bulat kecil serta bujur sehingga berbentuk seperti kulit kura-kura di sebelah luarannya adalah sejenis kuih tradisional kaum Cina popular yang diwarisi secara turun-temurun oleh kaum Baba dan Nyonya. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    “Kuih ini kebiasaannya berwarna merah dan memiliki tekstur yang agak kenyal dan melekit apabila disentuh serta memiliki rasa yang manis. Ia diperbuat daripada tepung pulut berinti kacang merah, kacang hijau, kelapa dan lain-lain berdasarkan cita rasa mereka.
     
    “Namun ia juga boleh dipelbagaikan dengan warna-warna pilihan yang lain mengikut cita rasa se-seorang. Kebiasaannya, ia diletakkan di atas sekeping daun pisang,” hurainya lanjut. 
     
    Beliau turut berkongsi bahawa menurut masyarakat Cina, bentuk kuih ang ku  seperti kura-kura dipercayai memanjangkan usia bagi sesiapa yang memakannya. Ia juga boleh membawa nasib yang baik serta kemakmuran. 
     
    KEUNIKAN CHAI KUE DAN PULUT TAI TAI
     
    Selain itu, secara ringkas Aunty Jane turut berkongsi bahawa chai kue diperbuat daripada adunan tepung beras dan tepung ubi dengan berintikan sengkuang, lobak dan udang kering. Ia dimasak secara kukus serta ditabur dengan bawang goreng pada permukaannya. 
     
    Sementara itu, salah satu kuih-muih tradisi Nyonya yang turut dikongsikan oleh beliau ialah pulut tai tai. Antara bahan-bahan asas yang diperlukan untuk menghasilkan kulinari berkenaan ialah beras pulut, santan kelapa asli, air dan garam serta bunga telang.
     
    Ujar Aunty Jane lagi, beras pulut perlu direndam dengan air bersih selama lima jam sebelum dibuang air sehingga bersih. Setelah itu, beras pulut itu dikukus dengan santan kelapa asli. Dalam pada itu, taburkan beberapa kelopak bunga telang di atas permukaan beras pulut yang dikukus tanpa digaul. 
     
    “Kemudian setelah beras sudah masak, alihkan bunga telang berkenaan dan baharulah digaul sebelum ia sejuk tetapi jangan digaul terlalu lama agar warna dari bunga berkenaan itu dalam keadaan tidak merata.”
     
    “Apabila sudah sejuk, masukkan beras berkenaan ke dalam penyimpanan khas dan dipotong mengikut cita rasa sukatan masing-masing. Pulut tai tai lebih enak lagi apabila dinikmati bersama kaya,” ucapnya sambil tersenyum simpul. 
     
    Sebelum meninggalkan tempat duduk untuk beredar keluar, Aunty Jane sambil bersalaman bersama penulis turut berkesempatan mengungkapkan harapan tulus agar kulinari tradisi tersebut sentiasa diminati dan diwarisi oleh generasi muda kita khususnya masyarakat Cina agar tidak pupus begitu sahaja.  
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...