Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Serahan PJSC
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Seramai 15 orang bekas pesakit kanser telah menyertai terapi seni yang diadakan di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) hari ini, sebagai aktiviti sampingan sempena Hari Kanser Sedunia 2022 akan datang.
Aktiviti yang dianjurkan bersama Pusat Kanser Brunei (TBCC) PJSC dan Galeri Rainforest itu merupakan sesi terakhir di mana para peserta memberikan sentuhan terakhir kepada karya seni mereka.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PJSC, dua sesi awal telah diadakan setiap Rabu dengan setiap minggu memfokuskan kepada pelbagai fasa seni lukis.
Para peserta berkongsi perjalanan pemulihan mereka melalui karya seni di bawah bimbingan Pemilik Urusan Galeri Rainforest, Dato Paduka Haji Shofry bin Haji Abdul Ghafor.
Turut hadir semasa acara itu ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar merangkap pengerusi Hari Kanser Sedunia; Pengarah TBCC, Dato Seri Laila Jasa Dr Babu Sukumaran selaku timbalan pengerusi Hari Kanser Sedunia; dan Ketua Perkhidmatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser (EDCPS), Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.
Menurut JSC, apabila pesakit atau bekas pesakit menggunakan seni sebagai sejenis rawatan, ia membantu mereka meneroka idea, meluahkan kreativiti dan memotivasikan mereka untuk lebih yakin sambil mengurangkan sebarang kesakitan atau penderitaan yang mungkin dialami.
Mereka biasanya lebih suka terapi seni kerana tindakan kreatif mencipta seni memberikan mereka rasa kesejahteraan terapeutik.
Selain lukisan seni, bekas pesakit kanser juga berpeluang untuk mengecap tanda mereka melukis tafsiran mengenai ‘Tutup Jurang Penjagaan’ dan tema Hari Kanser Sedunia 2022 pada mural seni grafiti yang dilukis oleh Guerrilla Architects dan akan dilancarkan pada 4 Februari depan pada acara peringatan.
Hari Kanser Sedunia 2022 ialah kempen kesihatan tahunan yang diperingati di seluruh dunia pada setiap 4 Februari.
Menyalakan mercu-mercu tanda dan cabaran media sosial adalah beberapa aktiviti yang secara tradisinya diadakan oleh negara yang mengambil bahagian untuk memperingati inisiatif global itu.
Pada tahun ini, PJSC memperingati acara itu secara kecil-kecilan melalui pencahayaan mercu tanda, pameran karya seni bekas pesakit kanser dan pameran kanser di Lobi PJSC, Aras 2 serta kempen media sosial.