Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi ‘raya’ cerminan keharmonian

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 29 MEI – Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Adau Gayoh Sang Jati Dusun yang diadakan secara serentak hari ini mencerminkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini tanpa mengira latar belakang budaya dan agama.

    Perkara tersebut antara yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Adau Gayoh Sang Jati Dusun pagi tadi di Taman Rekreasi Sungai Liang, Kuala Belait.

    Sambutan tersebut dianjurkan oleh Pakatan Sang Jati Dusun (PSJD) Brunei Darussalam dan mukim-mukim serta kampung-kampung di Daerah Belait.

    Hadir untuk mengalu-alukan ketibaan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ialah pengerusi sambutan, Haji Mohd Salleh bin Othman, yang merupakan penghulu Mukim Bukit Sawat.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed; Pengerusi PSJD, Awang Eyad Samhan bin Nyawa, dan Penasihat PSJD, Dato Seri Laila Jasa Kolonel (B) Jocklin bin Kongpaw.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyertai persembahan kebudayaan puak Dusun semasa acara tersebut, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa merasmikan sambutan tersebut.

    Semasa ketibaan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, beliau disambut oleh sembilan kumpulan gendang Sang Jati Dusun, di mana Yang Berhormat Dato berkesempatan untuk berinteraksi dan mempelajari dengan lebih mendalam mengenai budaya Sang Jati Dusun.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Mohd Salleh berkata sejajar dengan misi PSJD untuk menjaga dan melindungi identiti etnik puak Dusun, masyarakat berterusan untuk mengekalkan banyak budaya puak Dusun yang dipertunjukkan sepanjang sambutan tersebut.

    Ini termasuk pelbagai persembahan tradisional oleh kumpulan gendang Sang Jati Dusun, selain menunjukkan pelbagai kebudayaan lain seperti makanan, kraf tangan, pakaian tradisional dan barangan antik.

    Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut mengongsikan keterujaan melihat tradisi dan budaya puak Dusun terus hidup, terutama bagaimana sambutan Adau Gayoh dapat membantu memberikan peluang untuk pengetahuan mengenai puak Dusun.

    Selepas menyampaikan ucapan, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan merasmikan sambutan tersebut bersama dengan lagu Hari Raya dan ‘Dudui Adau Gayoh’ dipersembahkan di atas pentas.

    Acara diteruskan dengan sedikit penerangan oleh pengerusi PSJD mengenai sejarah dan pentingnya peranan gendang dalam budaya puak Dusun.

    Selain itu, sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan gendang yang terlibat, Yang Berhormat Dato telah menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil-wakil kumpulan gendang sebelum meneruskan lawatan ke pondok-pondok pameran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda