Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Konsep Halalan Thayyiban diutamakan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar fail PPHT & UNISSA

    Negara Brunei Darussalam terus berkembang dan melangkah jauh sesuai dengan usia kemerdekaan yang kini telah mencapai 39 tahun, dan ini dapat dilihat dengan penekanan terhadap penyediaan produk dan makanan halal.

    Penekanan ini amat sesuai sebagai sebuah Negara Zikir ke arah untuk mewujudkan sebuah kehidupan Baldatun Thayyiibatun wa Rabbun Ghafur.

    Islam menuntut umatnya supaya mencari makanan yang bersih lagi halal, di mana perkataan ‘halal’ berasal daripada bahasa Arab itu bermaksud dibenarkan atau dibolehkan berlandaskan hukum syarak.

    Secara umumnya makanan halal bermaksud sesuatu yang dibolehkan untuk dimakan dan Allah SWT menginginkan kebajikan pada tubuh badan manusia selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 168-169, yang mana dalam ayat tersebut Allah SWT memerintahkan manusia untuk memakan apa yang ada di bumi yang halal, dan melarang kita untuk mengikut langkah syaitan kerana ia merupakan musuh yang nyata.

    Halalan Thayyiban bermaksud halal lagi bersih, suci dan diyakini. Ia bukan hanya sekadar dilihat kebersihan luaran saja tapi ia perlu dilihat kebersihan kandungan, bahan, proses penghasilan dan keselamatan penggunaan dan pengambilan juga perlu diberikan perhatian.

    Belia harapan bangsa terdiri daripada kalangan siswa dan siswi PPHT, UNISSA semasa melakukan aktiviti makmal.
    Antara aktiviti yang dijalankan oleh pelajar Fakulti Pertanian bagi para pengunjung pameran tersebut.
    Salah satu produk halal inovatif berkonsepkan karya komik.

    Oleh itu, umat Islam juga diingatkan untuk mencari makanan yang benar-benar halal, menjauhi makanan yang diharamkan dan makanan yang diragui atau samar-samar status kehalalannya.

    Menjayakan wawasan negara

    Ke arah Menjayakan Wawasan Negara sesuai dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) sebagai sebuah pusat yang memfokuskan kepada penyelidikan halalan thayyiban akan terus berusaha mengalas dalam sama-sama menjayakan wawasan negara seperti yang dihasratkan.

    Melihat kepada sejarah penubuhan pusat berkenaan, ia adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar dapat menyumbang kepada hasrat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah pusat halal global.

    Justeru, pusat ini mempunyai tanggungjawab dan berperanan untuk merangka strategi dan menjalankan pelan-pelan tindakan serta memastikan langkah-langkah yang diambil khususnya dalam pelaksanaan program-program akademik pra siswazah dan siswazah pusat ini hendaklah sesuatu yang boleh memberikan impak yang terbaik khususnya ke arah menjayakan Wawasan Negara 2035.

    Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah PPHT, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim yang seterusnya mengongsikan, antara beberapa langkah yang telah dan sedang dilaksanakan oleh PPHT dalam mempersiapkan graduan agar industry-driven khususnya dalam menjayakan wawasan negara.

    Ia adalah dengan memberikan ilmu pengetahuan berkaitan sektor industri halal termasuk pengetahuan daripada perspektif syariah, garis panduan, undang-undang dan peraturan serta pengurusan berkaitan pelbagai sektor industri halal.

    Ini termasuklah juga ilmu pengetahuan yang dikaitkan dengan inovasi dan teknologi terkini tentang kontemporari produk halal.

    Sebagai nilai tambah bagi ilmu pengetahuan, pelajar juga didedahkan dengan pendidikan secara praktikal, di mana pelajar diberikan kesempatan mengalami sendiri realiti melaksanakan, projek penyelidikan dan aktiviti makmal dengan kegiatan menjalankan analisis halal atau program lain yang berkaitan dengan keperluan industri halal.

    Selain itu juga, PPHT turut mempersiapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21 seperti kemahiran komunikasi, kemahiran kerjasama, memberikan peluang dan kesempatan untuk pelajar bekerja dan berinteraksi melalui kegiatan berkumpulan.

    Di samping mengaturkan penempatan pelajar dengan industri, sektor swasta dan kerajaan, termasuk juga menggalakkan penglibatan pelajar untuk saling menjalin hubungan dengan juga komuniti.

    Selain itu, PPHT juga berusaha melaksanakan usaha-usaha mengembangkan kemampuan inovasi serta melatih pelajar untuk beradaptasi dengan pelbagai perubahan dan cabaran dan juga usaha membina kemahiran berfikiran kreatif dan inovatif agar mereka mampu berdaya saing di alam pekerjaan nantinya.

    Paling penting, PPHT melengkapkan pelajar dengan ilmu pendidikan halal bersumberkan Al-Quran dan hadis khususnya dalam memelihara maqasid syariah termasuk juga berusaha dalam mencapai matlamat pembangunan mapan.

    “Semua ini sangat penting bukan hanya setakat menjayakan wawasan 2035 malah menjadikan Negara Brunei Darussalam yang dicintai ini sebagai Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur,” jelasnya.

    Penggunaan logo halal

    Menyentuh mengenai logo halal pula, di negara ini bagi mendapatkan bahan mentah dan rempah ratus masakan selain makanan dan minuman ringan, ia kini mudah diperoleh di pasar-pasar sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna terutama bagi yang beragama Islam apabila terdapatnya logo halal yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Negara Brunei Darussalam.

    Walaupun bahan mentah mudah diperoleh di pasaran yang antaranya seperti makanan dalam tin dan lainnya, ada kalanya bahan makanan ini sebahagianya status halal mudah diketahui dan ada juga sebahagian yang tidak jelas status halalnya.

    Dalam perkara ini, jika didapati tidak ada logo halal yang tertera atau merasa ragu-ragu dengan status kehalalanya, sebaiknya ditinggalkan produk tersebut dan memilih produk lain.

    Di Negara Brunei Darussalam, kita merasa bersyukur kerana pemeriksaan dan pemantauan di kedai-kedai sering dilaksanakan dalam memastikan produk makanan yang dijual dalam pasaran negara ini adalah halal dan bersih.

    Selain itu, dalam sama-sama ingat-mengingati juga adanya pengguna yang prihatin dengan memaklumkan kepada pihak berkenaan mengenai dengan produk yang meragukan untuk diperiksa bagi memastikan status produk berkenaan.

    Di sini jelas menampakkan rakyat dan penduduk di negara ini amat mementingkan perkara Halalan Thayyiban dalam sesuatu produk atau makanan yang diambil.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...