KUALA LUMPUR, 28 APRIL – Malam Sabtu lalu menjadi ‘saksi penting’ kebangkitan legenda rock tanah air, Datuk Amy Search yang jelas masih lagi utuh dengan aura dan magisnya apabila berjaya menggegar Axiata Arena, sekali gus membuktikan bintang penyanyi ini belum lagi pudar sinarnya.
Karisma Raja Rock berkenaan jauh melangkaui segalanya apabila lebih 4,000 peminat setianya menyaksikan sendiri ‘detik penuh sejarah’ buat karier penyanyi ini sepanjang lebih empat dekad dalam industri muzik Malaysia.
“Bersyukur di usia 67 tahun saya masih di pentas ini. Isteri saya sering tanya ‘Bila nak buat konsert solo? Tak berani ke?’ Ini satu benda yang tak tahu bila lagi boleh buat, akhirnya impian tercapai,” katanya.
Masih kekal bertenaga dan alunan vokal penuh padu, bintang rock ini mempersembahkan 21 lagu termasuk medley dalam baju kot panjang paras lutut serba hitam selama hampir tiga jam dengan membuka tirai menyanyikan barisan lagu daripada pelbagai album solonya.
Gita Rama Sita disusuli Aku, Apa Saja, Suralaya Dalam D Major, Ghairah serta Kau Bukan Sadura mengisi ruangan pertama persembahan pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman ini sekali gus menonjolkan sisi solo yang jarang dilihat.
Lagu yang antaranya dipetik daripada album Magic dan Aku Amy itu, mungkin agak asing dan membuatkan segelintir penonton kurang biasa menjadikan situasi sedikit ‘bingung’ pada permulaan persembahan, namun mungkin Amy mahu peminat mengenali lebih karya solonya.
Bagaimanapun, kehangatan disambung pada jam kedua konsert apabila Amy mula menggegar suasana malam dengan lagu ‘berhantunya’ yang mencipta sejarah seperti Gadisku dan Rozana yang mendapat susunan muzik lebih segar di pentas Axiata Arena.
Amy juga mengejutkan penonton dengan medley penuh nostalgia, membawakan lagu ikonik yang dipopularkan sahabat seninya seperti Suatu Masa nyanyian asal Datuk M. Nasir, diikuti Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded) dan Sejuta Wajah (Sweet Charity) sebagai penghormatan.
Beraksi solo tanpa artis undangan, Amy terus memukau penonton dengan lagu-lagu hit dari pelbagai era dalam kariernya, antaranya, Kau Kepala Sotong, Apache, Kongkang dan Kalimah Cinta yang turut sama mengundang sorakan dan nyanyian beramai-ramai.
Persembahan diringi barisan pemuzik pimpinan penerbit konsert terkenal Jennifer Thompson itu diteruskan dengan lagu-lagu lain yang tidak kurang popularnya, seperti Tinggal Sepi, Aku Dah Bosan, dan Saat Yang Ku Idamkan, masing-masing membangkitkan kenangan manis peminat yang hadir.
Amy juga tidak ketinggalan menyampaikan Kerja Gila dan Tiada Lagi, dua lagu yang tetap relevan dengan peminat daripada pelbagai lapisan usia dan akhirnya, menutup persembahan dengan Isabella, lagu yang terus menjadi simbol kejayaan Search. – Bernama
