Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Sebuah kontena tempat penyimpanan bahan-bahan kimia jenis natrium (sodium) dan klorin di kawasan pelabuhan Muara telah dijilat api, awal pagi kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, seramai 10 orang anggota dari Balai Bomba Muara yang diketuai oleh ASO Haji Bujang bin Haji Puteh telah dikejarkan ke lokasi kejadian pada pukul 2:36 pagi.
Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memakai alat pernafasan dan memadam kebakaran menggunakan air yang diperoleh daripada tangki jentera bomba di mana kebakaran tersebut berjaya dikawal daripada merebak.
Punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian tersebut.
Hadir di tempat kejadian ialah Stesen Komander Balai Bomba Muara, SO Murni bin Haji Misir.
Dalam kenyataan itu, JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan bangunan mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering dua kilogram dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah.
Di samping itu, pastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik serta untuk membuat penyelenggaraan dengan teratur bagi mengelakkan kebakaran.