Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah ke-5 2023 anjuran Kementerian Pendidikan diharap akan diteruskan untuk membentuk para pemimpin menjadi seorang yang lebih berkemahiran dan berwibawa dan berubah sebagai pemimpin yang hebat untuk hari esok.
Harapan itu disuarakan oleh Pengarah Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang dalam ucapan penutup konvensyen berkenaan di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Dayang Marina Chek turut menyentuh mengenai perasmian Buku Panduan Rangka Kerja Blended Learning, MOE TV dan Sistem Pengurusan Sumber Digital (DRMS).
Menurutnya, buku panduan berkenaan adalah hasil penglibatan pemimpin sekolah dalam Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah sebelum ini di mana pemimpin sekolah mendapat peluang untuk berbincang tentang cara melaksanakan Blended Learning dengan jayanya bagi menghasilkan Rangka Kerja Blended Learning untuk semua sekolah di negara ini.
Sebahagian daripada kandungannya termasuk model pembelajaran teradun dan elemen yang perlu dipertimbangkan untuk pembelajaran teradun yang berkesan berlaku di dalam bilik darjah atau dari jauh.
Dengan rangka kerja berkenaan, jelas beliau, ia akan menyediakan pemimpin sekolah untuk menghadapi cabaran yang tidak pasti pada masa hadapan, menyesuaikan diri dengan norma baharu dan mengekalkan kualiti penyampaian pendidikan kepada pelajar kita.
“Dalam kesempatan ini juga saya ingin menggalakkan pemimpin sekolah, guru dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk menggunakan sepenuhnya MOE TV dan DRMS untuk menggalakkan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif dan akhirnya menyokong untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran,” ujar beliau lagi.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga menyampaikan surat pelantikan kepada 34 pemimpin sekolah yang baru dilantik awal tahun ini.
Dalam kesempatan itu, Yang Berhormat Datin mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin sekolah dan semoga mereka berjaya dalam memimpin sekolah masing-masing dan menikmati pengalaman dalam perjalanan kepimpinan.
Beliau turut menyentuh mengenai Insentif Sekolah, di mana 37 buah sekolah menerima insentif berkenaan di pelbagai kategori, yang telah mencatatkan keputusan cemerlang terutamanya kepada mereka yang telah menunjukkan konsistensi selama tiga tahun yang lalu.
Menurut beliau, pihaknya menjangka untuk melihat lebih banyak peningkatan sekolah di semua peringkat dan banyak lagi penerima pada masa hadapan.