Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Konvensyen Pemimpin-pemimpin Sekolah ke-5 menutup tirainya dengan penyampaian anugerah dan sijil yang berlangsung di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil dan hadiah ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Sebanyak 18 buah sekolah rendah telah dianugerahkan mengikut pencapaian dalam empat kategori bagi Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan Whole School Evaluation (WSE) bagi 2022 pada majlis itu.
Tiga kategori penganugerahan pula diberikan kepada 15 buah sekolah menengah bagi pencapaian dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level dan WSE 2022.
Seterusnya, empat buah pusat tingkatan enam (PTE) telah dianugerahkan mengikut tiga kategori pencapaian bagi Peperiksaan Brunei Cambridge GCE ‘A’ Level dan Penilaian WSE 2022.



Bagi kategori sekolah yang mencapai keputusan cemerlang melepasi sasaran iaitu sekolah yang mencapai KPI Kebangsaan (90 peratus) dari 2020 hingga 2022 dalam PSR ialah Sekolah Rendah (SR) Sungai Teraban dan SR Benutan, dengan masing-masing menerima insentif bernilai $2,000.
Sekolah yang mencapai keputusan cemerlang melepasi sasaran 90 peratus gred A-C dalam PSR 2022 berdasarkan keramaian calon ialah SR Penanjong, SR Selapon, SR Benutan, SR Rambai dan SR Sungai Teraban, yang menerima insentif bernilai $1,500.
Sekolah yang mencapai atau melepasi sasaran 60 peratus memperolehi lima O’ level / IGCSE ke atas ialah Sekolah Menengah (SM) Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (B), Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains), Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), SM Sufri Bolkiah dan SM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, yang dianugerahkan insentif bernilai $3,000.
Bagi PTE yang mencapai keputusan 80 peratus ke atas dengan tiga A level ke atas dalam peperiksaan GCE ‘A’ Level 2022 ialah Maktab Sains yang menerima insentif bernilai $3,000.
Sekolah yang menunjukkan peratus peningkatan iaitu sekolah yang menunjukkan peratus peningkatan gred A – C dari 2020 hingga 2022 dalam PSR berdasarkan keramaian calon ialah SR Haji Tarif dan SR Penanjong, yang menerima insentif $1,500.
Sekolah yang menunjukkan peratus peningkatan dari 2020 hingga 2022 memperolehi lima ‘O’ level / IGCSE ialah SM Berakas, SM Pehin Datu Seri Maharaja dan SM Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (B), yang menerima insentif $2,000.
Bagi kategori pencapaian sekolah terbaik dalam WSE dalam empat domain Band yang tinggi mengikut peringkat sekolah rendah ialah SR Sengkurong, SR Sultan Hashim, SR Sungai Teraban, SR Danau, SR Pengiran Anak Puteri Besar, SR Muhammad Alam, SR Lubok Pulau, SR Kapok dan SR Mulaut yang masing-masing menerima insentif bernilai $1,000.
Bagi Anugerah Perak ialah SM Perdana Wazir dengan insentif bernilai $1,500 dan penerima Anugerah Gangsa ialah SM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Maktab Anthony Abell, SM Sayyidina ‘Umar Al-Khattab, SM Rimba, SM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan SM Sufri Bolkiah, yang masing-masing menerima insentif bernilai $1,000.
Bagi PTE ialah PTE Sengkurong, PTE Tutong dan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) yang menerima anugerah insentif bernilai $1,000.
Acara kemuncak majlis ialah penyampaian sijil pelantikan pemimpin-pemimpin sekolah baharu dan insentif sekolah yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan bagi sekolah-sekolah kerajaan yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan awam bagi 2022.

