SEOUL, 3 APRIL – Korea Selatan dan Ecuador hari ini memulakan rundingan pusingan kesembilan mereka mengenai pembentukan perjanjian perdagangan bebas dua hala, menurut kementerian perdagangan Seoul.
Kedua-dua negara melancarkan rundingan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Strategik (SECA), iaitu pakatan perdagangan bebas pada 2016, dan menyambung semula rundingan pada tahun lepas selepas terhenti selama enam tahun, lapor Yonhap.
Rundingan terbaharu itu akan berlangsung hingga Jumaat di Seoul, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.
Kedua-dua pihak berusaha mempercepat perbincangan demi mencapai kesepakatan mengenai pelbagai isu, termasuk barangan perkilangan, perkhidmatan dan perolehan, serta cara untuk meningkatkan rantaian bekalan tenaga dan mineral utama, kata kementerian itu.
“Kedua-dua pihak aktif dalam rundingan, dan kami menjangkakan hasil yang ketara tidak lama lagi.
Tumpuan akan diberikan kepada hubungan dua hala yang saling menguntungkan dan berorientasikan masa depan,” kata perunding utama Seoul, Kwon Hye-jin.
Negara Amerika Selatan itu kaya dengan sumber semula jadi, seperti tembaga, zink, dan emas.
Sekiranya perjanjian itu dicapai, Korea Selatan akan menjadi negara Asia pertama yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Ecuador. – Bernama