Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Utara buka semula pelancongan Disember ini

    BEIJING, 15 OGOS – Pengendali pelancongan berpangkalan di Beijing hari ini menyambut baik pengumuman mengejutkan Korea Utara yang akan membuka semula sektor pelancongan kepada pelancong asing pada musim sejuk ini, selepas hampir lima tahun penutupan akibat pandemik COVID-19.

    Sehari sebelumnya, Koryo Tours mengongsikan bahawa mereka telah menerima notis daripada Korea Utara yang memaklumkan bahawa pelancongan ke bandar timur laut Samjiyon akan disambung semula pada Disember ini selepas penutupan hampir lima tahun akibat pandemik COVID-19.

    “Reaksi awal kami sudah tentu positif. Ia adalah satu penantian yang lama,” kata Simon Cockerell, pengurus besar Koryo Tours yang berpangkalan di Beijing, kepada AFP, hari ini.

    “Permintaan kekal tinggi sepanjang penutupan, jadi saya menjangkakan pemulihan perniagaan yang baik,” tambahnya, sambil menyatakan, “Ramai yang telah lama menantikan dan berasa teruja untuk melawat Korea Utara sejak wabak itu melanda.”

    Sementara itu, KTG Tours, juga berpangkalan di China, dalam catatan di Facebook kelmarin menyatakan bahawa mereka telah dimaklumkan ‘pelancong akan dibenarkan pergi ke Samjiyon musim sejuk ini.’

    “Tarikh sebenar akan disahkan kemudian. Setakat ini, hanya Samjiyon yang telah disahkan, namun kami percaya Pyongyang dan destinasi lain turut akan dibuka,” menurut kenyataan itu.

    Samjiyon terletak berhampiran sempadan utara Korea Utara dengan China dan terkenal sebagai lokasi Gunung Paektu, di mana naratif rasmi Korea Utara mendakwa mendiang pemimpin tertinggi Kim Jong Il dilahirkan.

    Kawasan itu telah dibangunkan secara besar-besaran oleh Kim Jong Un, yang kini menjadi pemimpin Korea Utara, termasuk pembinaan apartmen, hotel, dan pusat peranginan ski. – AFP

    Gambar fail bertarikh 3 Julai 2021 ini, menunjukka orang ramai semasa tiba di Teater Samjiyon di Pyongyang. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda