Tuesday, April 22, 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Koronavirus di Sydney kini ‘kecemasan kebangsaan’

    SYDNEY, 23 JULAI – Penularan pantas koronavirus di Sydney kini menjadi satu ‘kecemasan kebangsaan,’ kata ketua negeri hari ini, ketika bandar terbesar Australia itu melaporkan satu lagi jumlah mencecah rekod kes baharu.

    Mengakui perintah berkurung sebulan lamanya gagal menghentikan penularan varian Delta, negeri New South Wales merayu Canberra segera menghantar lebih banyak vaksin dan sumber-sumber.

    Menggelar wabak itu satu kecemasan kebangsaan akan memberikan laluan bagi lebih banyak penglibatan kerajaan persekutuan mengekang krisis itu.

    “Kami bertanggungjawab mewakili negara mengekang virus,” kata Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian. “Tidak syak lagi, jumlah penularan tidak menuju ke arah yang betul.”

    Negerinya hari ini melaporkan 136 kes, satu rekod bagi penularan yang kini berjumlah 1,782 secara keseluruhan.

    Dengan virus ‘merebak di mana-mana sahaja’ dan separuh daripada 25 juta penduduk negara itu kini dalam perintah berkurung, Berejiklian mengatakan kerajaan mesti ‘memfokuskan semula’ pengagihan vaksinnya yang perlahan.

    Hanya 12 peratus daripada rakyat Australia sudah divaksin sepenuhnya disebabkan masalah dengan bekalan vaksin Pfizer dan rasa sangsi terhadap keselamatan vaksin AstraZeneca.

    “Kami perlu sekurang-kurangnya lebih banyak dos pertama Pfizer,” kata Berejiklian, sambil memberi amaran kepada lima juta penduduk Sydney bahawa sekatan boleh dilaratkan sehingga Oktober.

    Namun permintaan untuk menyalurkan vaksin ke kawasan paling teruk terjejas ditolak oleh Perdana Menteri Australia, Scott Morrisson.

    “Kita tidak akan mengganggu program vaksinasi di seluruh negara,” kata Morrisson, menegaskan bandar kelahirannya itu akan dapat keluar daripada krisis itu. – AFP

    Restoran-restoran ditutup semasa perintah berkurung di Opera House, Sydney, 23 Julai, di tengah-tengah penularan koronavirus yang menjadi ‘kecemasan kebangsaan’, menurut ketua menteri negeri itu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda