HOUSTON, 29 JULAI – Kostum ala bikini emas yang dipakai oleh Carrie Fisher sebagai Puteri Leia semasa pembikinan filem Return of the Jedi dalam francais Star Wars telah dijual pada harga AS$175,000, menurut rumah lelongan yang mengendalikan penjualannya.
Kostum berkenaan menjadi terkenal apabila Fisher memakainya pada permulaan filem 1983 itu apabila Leia ditangkap oleh Jabba the Hutt di istananya di Tatooine dan dipaksa menjadi hamba.
Sebagai salah satu yang paling diingati dalam filem Star Wars, kostum berkenaan telah dijual pada Jumaat lalu oleh Heritage Auctions yang berpangkalan di Dallas.
Joe Maddalena, naib presiden eksekutif Heritage, berkata bahawa kostum yang dijual itu adalah kostum yang telah diuji skrin dan dipakai oleh Fisher pada set filem itu tetapi akhirnya tidak masuk ke versi terakhir filem kerana ia telah ditukar kepada yang lebih selesa.
Rumah lelong itu berkata pakaian itu mencetuskan perang bidaan dalam kalangan pengumpul. – AP