Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kreatif, Inovasi dalam Kejururawatan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JPMC

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Bersempena Hari Bidan dan Jururawat Antarabangsa, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dengan kolaborasi Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan mengendalikan Persidangan Maya Hari Bidan dan Jururawat Antarabangsa pertamanya dengan tema, Kreativiti dan Inovasi dalam Kejururawatan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPMC, hari ini, persidangan itu dihadiri oleh lebih 1,500 orang peserta dari Negara Brunei Darussalam dan negara-negara jiran di mana ia bermatlamat untuk mengembangkan ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka mengenai cara mereka meningkatkan amalan kejururawatan dengan menyesuaikan diri kepada keadaan.

    Persidangan maya itu bermula dengan ucapan alu-aluan daripada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar yang menyentuh bahawa pandemik telah meleraikan beberapa permasalahan dalam beberapa bulan berbanding apa yang telah dibina oleh profesional penjagaan kesihatan dalam berdekad-dekad.

    Menurutnya, “Tanpa pasukan profesional penjagaan kesihatan yang berdedikasi, kita tidak akan dapat melihat penyelesaian.

    Di tengah-tengah pasukan berkenaan, ulasnya, tanpa diragui adalah bidan dan jururawat yang cemerlang.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menyertai persidangan maya itu.
    Chung Yea Fui turut hadir selaku pengerusi pada acara tersebut.
    Persidangan maya sempena Hari Bidan dan Jururawat Antarabangsa.

    “Jangan kita lupa, pandemik ini mungkin menjadi kebimbangan serata dunia, tetapi kita juga masih mempunyai pesakit lain yang menghidap keadaan dan penyakit yang lain,” katanya.

    Persidangan turut meneroka perspektif berlainan termasuk amalan kejururawatan klinikal, kepimpinan dan pendidikan. Persidangan itu menyaksikan penyertaan pembentang-pembentang dari Hong Kong, Singapura, Thailand dan Filipina termasuk pembentang tempatan dari institusi pendidikan tempatan, hospital kerajaan dan institusi penjagaan kesihatan swasta.

    Pembentang tempatan yang mewakili JPMC termasuklah Timbalan Pengarah Kejururawatan, Dayang Salbiah binti Haji Daud; Pakar Jururawat Klinikal (Pendidik), Chakkaravarthy Karpagam; dan Jururawat Staf, Hajah Jerada Uddin Al-Raschid.

    Pembentang-pembentang undangan tempatan lain ialah Pengarah Kejururawatan Gleneagles JPMC, Chandra Devi Durairajoo; Pegawai Kejururawatan Tingkat Khas, Hospital PMMPMHAMB, Sallehkamal Haji Baharudin; Penolong Profesor Kanan, Institut Sains Kesihatan PAPRSB, Universiti Brunei Darussalam, Dr Khadizah Haji Abdul Mumin; Ketua Sekolah Sains Kesihatan, Politeknik Brunei, Armah Tengah; dan Pegawai Kejururawatan Tingkat Khas, Ketua Pentadbiran Kejururawatan, Hospital RIPAS, Hajah Kartini binti Haji Suhai.

    Manakala itu, perspektif yang berwawasan daripada negara-negara jiran telah dikongsi oleh Penolong Pengarah Kejururawatan, Ketua Centre for Asian Nursing Studies, Hospital Tan Tock Seng, Singapura, Christopher Soh Kok Keng; mewakili Filipina ialah Pensyarah, Universiti Far Eastern, Neugene Rowan Cu; penceramah khas dari Hong Kong, Presiden Tung Wah College, Hong Kong, Profesor Sally Chan; serta mewakili Thailand ialah Pengarah Kejururawatan, Hospital BNH, Bangkok, Duangduan Bunyasartphan.

    Dengan dunia berkembang dari semasa ke semasa, jururawat dan bidan terus mempelajari dan menyesuaikan amalan baharu yang bersesuaian bagi keadaan semasa.

    Dengan campuran pengalaman dan idea yang dikongsi oleh penceramah dan pembentang, ia membantu jururawat untuk memperluaskan perspektif mereka dan menjana idea-idea yang lebih baik untuk masa hadapan.

    Persidangan telah diakhiri dengan tayangan video yang menghargai sumbangan kerja keras dan pengorbanan keseluruhan jururawat khususnya semasa pandemik dua tahun kebelakangan ini.

    Menutup persidangan itu, Pengarah Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan dan Pengerusi acara, Chung Yea Fui berkata kreativiti dan daya pembaharuan yang disumbangkan oleh bidan dan jururawat adalah untuk meningkatkan lagi amalan mereka dengan hasrat untuk menyediakan ja-gaan yang terbaik bagi pesakit mereka.

    “Perbuatan tidak mementingkan diri ini adalah punca utama bidan dan jururawat merupakan aspek penting penjagaan kesihatan,” tambahnya.

    JPMC dan Kementerian Kesihatan berharap kejayaan persidangan maya itu akan membantu untuk membuka masa depan yang lebih baik bagi penjagaan kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda