Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Krisis ekonomi dorong kanak-kanak pelarian berhenti sekolah

    GAZA – Kemiskinan telah memaksa Ahmed al-Aghbar, seorang kanak-kanak pelarian berusia 13 tahun di enklaf Semenanjung Gaza, berhenti sekolah dua tahun lalu untuk membantu menyara keluarganya.

    “Apabila saya melihat pelajar pergi ke sekolah, saya berasa sangat sedih,” kata al-Aghbar kepada Xinhua, sambil menambah dia pernah bermimpi untuk menjadi seorang guru apabila dewasa.

    “Ayah saya sukar membawa makanan pulang ke rumah, saya rasa saya sudah cukup dewasa memikul tanggungjawab keluarga,” kata budak lelaki itu.

    Bagi Al-Aghbar, gagal membeli pakaian sekolah baharu seperti orang lain dan dibuli tidak memiliki wang saku adalah masalah terakhir. Selepas berhenti sekolah, dia mula membantu bapanya memancing di pantai Gaza.

    “Kami terhalang daripada mendapat pendidikan kerana kemiskinan, peperangan dan pembatasan UNRWA,” tambahnya, merujuk kepada Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat, talian hayat untuk pelarian Palestin di Gaza.

    Kelihatan kanak-kanak bermain di jalan dalam kem pelarian Al-Shati di Bandar Gaza. – Xinhua

    Keadaan keluarga al-Aghbar yang terdiri seramai 13 orang tidaklah begitu teruk 16 tahun lalu, apabila Israel secara kekal mengenakan sekatan darat, udara dan laut di Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas, memaksa mereka untuk hidup dengan bantuan yang diberikan oleh agensi bantuan PBB.

    “Anak saya tidak dapat menyediakan jumlah minimum makanan kerana orang Israel melarangnya memancing di laut untuk jarak yang jauh. Pihak Israel malah menghalang nelayan Palestin daripada menangkap ikan pada masa krisis,” kata nenek al-Aghbar, Umm Ayman al-Aghbar.

    Lebih buruk lagi, UNRWA telah mengurangkan perkhidmatannya dengan ketara dari tahun ke tahun, menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan pendidikan, manakala Israel sering melancarkan serangan terhadap Gaza, kata wanita berusia 67 tahun itu.

    UNRWA telah terperangkap dalam krisis kewangan selama bertahun-tahun. Selepas Amerika Syarikat menghentikan sokongan kewangannya kepada agensi bantuan itu pada 2018, ia hampir tidak dapat meneruskan perkhidmatan pentingnya kepada kira-kira 5.7 juta pelarian Palestin.

    Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini memberi amaran pada akhir 2021 bahawa agensi itu berada dalam ‘zon bahaya’ dan berdepan potensi kejatuhan.

    Banyak sekolah tajaan UNRWA di Gaza telah berhenti menyediakan bekalan pendidikan kepada pelajar, seperti buku nota, pen dan juga makanan, dan keadaan psikologi yang lemah mula muncul, jelas Dirdah al-Shaer, seorang ahli psikologi yang berpangkalan di Gaza, memberitahu Xinhua.

    “Realiti baharu yang belum pernah berlaku sebelum ini memberi beban kewangan baharu kepada keluarga yang sudah pun menderita akibat kemiskinan berikutan sekatan Israel,” kata al-Shaer.

    Itulah sebabnya ramai pelajar tidak suka pergi ke sekolah dan lebih suka bekerja dengan gaji yang rendah hanya untuk membantu keluarga mereka, kerana “sekolah telah menjadi beban daripada institusi yang berusaha untuk mendidik, membangun dan menyediakan mereka untuk menjadi pembina masa depan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...