Bekas trio KRU, Datuk Norman Abdul Halim bangga apabila lagu didendangkan bersama dua adiknya, Yusry dan Edry, masih segar di bibir peminat biarpun kumpulan pencetus irama pop dan hip hop di Malaysia itu sudah dibubarkan sejak 2018.
Norman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios berterima kasih kepada aplikasi media sosial seperti TikTok kerana membuatkan lagu KRU seperti Terhangat Di Pasaran, terus menjadi menjadi siulan ramai.
Jelasnya, situasi itu membuat mereka berasa masih relevan dalam industri seni tanah air, biarpun tidak lagi bergerak sebagai satu kumpulan.
“Saya bersyukur kerana masih dilihat relevan di mata peminat. Saya tak sangka, malah berterima kasih kepada teknologi seperti TikTok dan YouTube kerana kalau tidak, kami memang sudah terkubur selepas dibubarkan.
“Dengan platform ini, bukan sahaja lagu KRU, malah lagu kumpulan Elite dan Forteen (yang dinaungi KRU) boleh naik semula.

“Ini perkembangan yang baik untuk penggiat industri seni dan meremajakan kami daripada segi fanbase.
“Kalau tidak kerana fanbase kita makin lama makin menjalani proses penuaan, sama macam kami. Kelab peminat pun melalui proses penuaan.
“Namun, kami ada peminat baharu dan saya fikir ia sesuatu yang positif,” katanya ditemui pada sesi tayangan ekslusif filem baharu terbitan KRU Studios berjudul Geng Sakau VS Hantu Ting Tong di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini. Ditanya hasrat membuat kemunculan semula, Norman mengaku perkara itu agak sukar direalisasikan berikutan masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri.
Bagaimanapun, Norman berkata, jika diundang untuk membuat persembahan sama ada secara secara berkumpulan atau solo, ia mungkin boleh dipertimbangkan. – Agensi