Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kes salah guna dadah, penipuan ancam keselamatan Singapura

    SINGAPURA, 13 FEB – Landskap dadah global yang semakin teruk dan kes penipuan yang semakin meningkat menjadi ancaman utama kepada keselamatan sosial Singapura tahun lepas, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri negara itu, hari ini.

    Sikap yang semakin terbuka terhadap dadah di beberapa buah negara, disokong oleh maklumat salah tentang bahaya dadah, dan pengeluaran besar-besaran dadah di beberapa buah wilayah meletakkan penduduk di Singapura, terutamanya golongan muda, dalam kedudukan yang terdedah, kata laporan itu.

    “Kami melihat peningkatan bilangan penyalahguna dadah yang ditangkap pada 2023, didorong oleh peningkatan penyalahguna dadah baharu. Lebih separuh daripada penyalahguna dadah dari golongan muda, iaitu mereka yang berumur bawah 30 tahun, adalah penyalahguna baharu,” kata kementerian itu.

    Biro Narkotik Pusat Singapura membongkar 25 sindiket dadah tahun lalu dan akan terus memerangi kesalahan dadah, tambah laporan itu.

    Penipuan terus menjadi kebimbangan pada 2023 kerana jumlah kes penipuan yang dilaporkan terus meningkat, kata kementerian, sambil menambah jenis penipuan teratas ialah penipuan pekerjaan, penipuan e-dagang, penipuan panggilan rakan palsu, penipuan pancingan data dan penipuan pelaburan.

    Pasukan Polis Singapura berikrar untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan rakan kongsi masyarakat lain untuk melibatkan dan mendidik orang ramai supaya meningkatkan kewaspadaan dan daya tahan mereka terhadap penipuan, kata laporan itu. – Xinhua

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...