Tuesday, September 17, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kucing berat 17kg tidak mampu lagi berjalan

    RUSSIA, 10 SEPT – Seekor kucing berusia 14 tahun dari bandar Perm, Rusia, terpaksa diselamatkan selepas menjadi terlalu gemuk sehingga tidak lagi mampu berjalan akibat terlebih makan. Kucing bernama Kroshik itu kini seberat 17 kilogram (kg), tiga kali ganda berat normal seekor kucing dewasa dan keadaannya telah menarik perhatian ramai selepas gambarnya tular di media sosial Rusia, VKontakte.

    Memetik laporan Oddity Central, Kroshik telah lama menjadi maskot tidak rasmi di sebuah hospital tempatan, di mana dia memburu tikus dan dimanja oleh para kakitangan. Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan, Kroshik mula bergantung sepenuhnya kepada makanan yang diberikan oleh manusia, menyebabkan berat badannya melonjak. Apabila dia tidak lagi mampu berdiri di atas kakinya, kakitangan hospital tersebut menghubungi pusat perlindungan haiwan Matroskin untuk menyelamatkannya.

    Kroshik seberat 17kg, tiga kali ganda berat normal seekor kucing dewasa. – Oddity Central

    Menurut pusat perlindungan tersebut, Kroshik adalah contoh jelas bagaimana ‘terlalu dimanjai’ boleh membahayakan. Kucing itu telah diberikan makanan dan hidangan secara berlebihan oleh para peminatnya yang bertugas secara bergilir, menyebabkan kucing tersebut berhenti memburu dan bergantung sepenuhnya pada makanan yang diberikan.

    Selepas pemeriksaan, doktor haiwan mendapati bahawa berat ideal Kroshik sepatutnya antara lima hingga tujuh kilogram. Kroshik kini menjalani program penurunan berat badan yang drastik, di mana dia dijangka akan kehilangan antara 85 hingga 170 gram seminggu sehingga mencapai berat yang normal.

    Selain mengurangkan pengambilan kalori, penjaga baharu Kroshik turut menggunakan kaedah treadmill air dalam tab mandi kecil untuk membantunya membakar kalori. Walaupun Kroshik agak pemarah dan membenci air, dia tiada pilihan selain mematuhi program tersebut. Diharapkan Kroshik akan pulih dan kembali dapat berjalan dalam beberapa bulan lagi.

    Kisah Kroshik itu mengingatkan kepada seekor anjing bernama Krugets dari Rusia yang pernah mencapai berat 100kg akibat terlebih makan di sebuah pasar daging di Nizhny Novgorod. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda