Wednesday, October 23, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kuih-muih asli tetap jadi pilihan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Kuih tradisi Brunei seperti kuih sapit, ardam, tocang atau pulas, bahulu dan lainnya antara yang menjadi pilihan pada masa ini untuk dijadikan sebagai buah tangan atau hidangan di majlis keramaian.

    Walaupun kita sudah berada dalam suasana kemodenan dan persekitaran yang berbeza, permintaan terhadap kuih-muih tradisi asli Brunei masih lagi mendapat tempat di hati orang ramai.

    Dalam usaha bagi mengetengahkan kuih tradisi Brunei ini kepada orang ramai, Pesta Pengguna ke-26 yang kini berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas menjadi platform kepada usahawan kecil, sederhana dan mikro tempatan untuk memasarkan, mengembangkan dan mempromosikan produk mereka sendiri.

    Salah seorang pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Bukit Beruang, Pengurus HMY BN Enterprises, Dayang Nurul Aziemah binti Hamidon ketika ditemui di pesta berkenaan, kelmarin, berkongsi pengalaman luasnya dalam menyertai pelbagai pameran dan ekspo di seluruh negara.

    Beliau menjelaskan pada peringkat awal, ia hanya dilakukan untuk mengisi masa lapang tapi setelah melihat respons dan perniagaan yang dibuat semakin berkembang telah menjadikan perniagaan berkenaan sebagai medium yang bukan sahaja untuk menjana pendapatan, malah sebagai platform untuk membantu ibu-ibu tunggal, mereka yang telah bersara dan belia-belia untuk menjana pendapatan sampingan mereka.

    Dayang Nurul Aziemah bergambar bersama kuih tradisi di petak Pesta Pengguna di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
    Antara kuih tradisi yang dijual di Pesta Pengguna ke-26.

    Dalam melangkah ke era kemodenan dan sebagai pengusaha yang telah terlibat dalam pemasaran kuih-muih tradisi Brunei, beliau turut mengakui ada kuih tradisi telah dimodenkan supaya ia lebih nampak menarik.

    “Seperti kuih sapit yang bukan saja dipelbagaikan bentuknya dengan warna-warna yang menarik malah ia turut berintikan kekacang dan juga coklat untuk menambah keunikan kuih sapit moden itu,” ujarnya.

    Walaupun begitu, tambahnya, kuih sapit asli tentu saja menjadi pilihan pelanggan sama seperti kuih-muih tradisi lainnya.

    Ditanya bagaimana beliau mendapatkan semua bekalan kuih tradisi Brunei berkenaan, Dayang Nurul Aziemah berkata, beliau menawarkan kepada pengusaha kecil yang giat membuat kuih tradisi itu tetapi tidak mempunyai medium untuk menjual atau memasarkan produk mereka.

    Dalam usaha itu, syarikat mereka telah melaksanakan satu inisiatif bagi membantu mereka dengan memberikan modal untuk memulakan pembuatan kuih-muih tradisi.

    “Kami faham ada yang tidak mempunyai modal untuk memulakan perniagaan mereka, oleh itu, kami menawarkan mereka platform bagi memasarkan produk mereka melalui syarikat kami. Selain modal, kami juga membantu dalam pembungkusan dan penjenamaan semula serta pemasaran,” tambahnya.

    Jelasnya lagi, “Ini adalah untuk memastikan mereka dapat mengekalkan dan terus membuat kuih tradisi Brunei supaya ianya sentiasa tersedia di pasaran dan tidak pupus.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda