Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kuih-muih lengkapi kemeriahan raya

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Aidilfitri dan kuih-muih memang sukar dipisahkan, setiap kali Hari Lebaran, koleksi kuih raya menjadi penyeri juadah ruang tamu di setiap rumah.

    Bahkan boleh dikatakan Hari Raya akan menjadi suram jika tidak dihidangkan dengan variasi kek yang cantik, menarik dan lazat sebagai hidangan sama ada untuk dinikmati sendiri bersama keluarga, mahupun menjadi jamuan bagi para tetamu yang bertandang.

    Tidak kira dengan membeli kuih-muih atau buat sendiri, namun kemeriahan kunjung-mengunjungi ke kediaman kaum keluarga, sanak-saudara serta sahabat-handai sambil menikmati kuih raya yang tersedia dapat dirasai bersama.

    Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah pelbagai pilihan kuih-muih raya yang dijual oleh para pengusaha sama ada secara langsung mahu pun tempahan setiap kali menjelang bulan Syawal.

    Namun hakikatnya juadah yang dihasilkan sendiri itu jugalah yang lebih bermakna. Kemanisan itulah yang turut diselami oleh salah seorang insan dalam lingkungan usia 60an yang lebih senang disapa dengan panggilan Dayang Edah ketika berkongsi santai bersama penulis baru-baru ini mengenai pengalamannya dalam menghasilkan kuih-muih raya secara persendirian bagi santapan ringan para tetamu yang berkunjung di kediamannya setiap Aidilfitri.

    Kuih mor, antara jenis kuih yang cukup menggamit nostalgia dan sentimen.
    Biskut cerelac adalah antara biskut yang tidak kurang popular juga semasa Hari Raya Aidilfitri.
    Tat nenas juga antara jenis biskut yang diketengahkan oleh Dayang Edah.

    “Seakan-akan kurang serinya suasana Hari Raya itu tanpa adanya sentuhan air tangan kuih-muih peribadi untuk dihidangkan kepada mereka yang datang ke rumah.

    Segalanya begitu indah lagi apabila kita dapat berkongsi rezeki bersama mereka untuk menikmati variasi kuih-muih yang tersedia sambil mengeratkan lagi ikatan silaturahim,” ujarnya.

    Antara kuih-muih istimewa yang telah dihasilkan ialah Kek Masam-masam Manis, Kek Delima Kukus, Kek Selipar Jepun, Kek Lapis Andainya Takdir, kek kukus buah, Kek Kukus Mata Kucing dan Kek Batik Klasik. Tidak ketinggalan ialah kuih Mor, Cerelac dan Tat Nenas.

    Jelas Dayang Edah lagi, sudah menjadi kelaziman bagi beliau dan anak-anak perempuannya akan mengadun beberapa jenis resepi kuih-muih pilihan peribadi menjelangnya bulan Syawal iaitu kira-kira seminggu sebelumnya.

    “Keseronokan menghasilkan kuih-muih raya sentuhan sendiri itu lebih dapat dinikmati berbanding membelinya. Apabila kita mengadun resipi sendiri, ia mampu menepati cita rasa dari segi kualiti bahan-bahan asas dan juga tidak dilupa ialah tahap kemanisan kuih-muih yang dihasilkan.

    “Di samping itu, rekaan pilihan warna yang menarik juga dapat diketengahkan dengan kreativiti yang tersendiri. Biar kuih-muih itu tetap enak, tahan dan cantik dalaman dan luaran.

    “Masing-masing memiliki keistimewaannya, bukanlah bermaksud yang dijual itu tidak sedap bahkan hakikatnya apabila kita menghasilkan sendiri kuih-muih itu, segalanya adalah satu kepuasan dan lebih berbaloi!,” katanya dengan keyakinan.

    Dayang Edah turut berkongsi bahawa kemahiran pembuatan kuih-muih diperolehinya sejak di usia remaja lagi dengan mempelajari resipi secara persendirian dan perkongsian ilmu daripada rakan-rakan sekerja.

    “Sememangnya dari dahulu lagi, saya begitu gemar mengumpulkan koleksi buku dan nota resipi bukan hanya khusus dalam bakeri bahkan juga sajian lain meliputi daripada pembuka selera, hidangan utama sehingga pencuci mulut.

    “Mencabar diri untuk mencuba dan terus mencuba, itulah prinsip saya dalam menghasilkan sesuatu sentuhan hidangan,” ujarnya lagi.

    Keindahan dalam menghasilkan kuih-muih sempena setiap menjelangnya hari raya ini begitu bermakna dalam diri Dayang Edah di mana segalanya tersemat nilai sentimental lebih-lebih lagi menggamit nostalgia bersama Allahyarhamah ibu tercinta dalam menyediakan pelbagai juadah hidangan raya sendiri suatu ketika dahulu.

    “Hakikatnya dugaan Hari Raya ini memang begitu mencabar dengan adanya bermacam-macam jenis juadah yang tersedia di depan mata, namun kita juga tidak kira golongan veteran mahu pun muda mestilah sentiasa beringat-ingat untuk menjaga kesihatan masing-masing dari semasa ke semasa,“ jelasnya, dengan senyuman manis semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda