Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kukuh perpaduan bersama individu kelainan upaya

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Projek-projek seperti Cerebral Palsy (CP) Awareness Fun Day and Exhibition berkemampuan untuk menguatkan lagi persepaduan masyarakat awam dengan individu-individu yang berkelainan upaya.

    Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin berkata, CP adalah salah satu kondisi yang memerlukan perhatian dan kita hanya akan dapat mencapai keterangkuman dengan adanya kesedaran dan penerimaan.

    “Kesedaran akan membuahkan penerimaan yang akan membuka jalan kepada masyarakat yang inklusif kerana membina masyarakat yang inklusif adalah tanggungjawab semua,” ujarnya dalam ucapan selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran acara anjuran Pusat Perkembangan Kanak-kanak, Kementerian Kesihatan dan kumpulan Wonder Kids yang berlangsung di Pusat Perkembangan Kanak-kanak, Kiarong, hariini.

    Beliau turut berharap, projek Wonder Kids itu dapat dijadikan contoh dan inspirasi bagi generasi-generasi lain untuk memainkan peranan masing-masing dalam menjamin masa depan sebagai sesebuah masyarakat yang inklusif terutama terhadap mereka yang berkelainan upaya.

    Terdahulu, beliau berkata, Wonder Kids merupakan salah satu langkah ke arah pencapaian Matlamat 2 ke arah Wawasan Brunei 2035, iaitu mencapai taraf kualiti hidup yang tinggi, terutamanya hasil pencapaian 4 dan 7.

    Haji Maswadi melancarkan Cerebral Palsy (CP) Awareness Fun Day and Exhibition di Pusat Perkembangan Kanak-kanak, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama sebahagian tetamu yang hadir pada majlis pelancaran itu.

    Jelas beliau, hasil pencapaian 4, iaitu taraf hidup yang tinggi adalah selaras dengan objektif Wonder Kids untuk meningkatkan lagi kualiti penjagaan masyarakat CP.

    Hasil pencapaian kebangsaan itu merangkumi bidang-bidang tertentu seperti utiliti dan infrastruktur awam yang berkualiti tinggi yang boleh diakses oleh semua.

    “Misalnya, menitikberatkan pembinaan fasiliti guna sama seperti perpustakaan dan makmal komputer di tingkat bawah supaya dapat diakses oleh pelajar-pelajar yang mempunyai kelainan upaya fizikal.”

    Wonder Kids juga menyumbang kepada hasil pencapaian 7 iaitu membina masyarakat yang bersepadu serta berdaya tahan yang antaranya merangkumi jaminan sosial yang inklusif.

    “Pencapaian ini adalah selaras dengan tujuan utama Wonder Kids iaitu untuk menaikkan kesedaran masyarakat awam mengenai CP, di mana kesedaran ini akan membawa kepada inklusiviti dan seterusnya pencapaian taraf kualiti hidup yang tinggi antara masyarakat Brunei secara keseluruhan.

    “Ternyata sekali bahawa untuk merealisasikan pencapaian yang tersebut, kita perlu mengambil kira masyarakat kita yang mempunyai kelainan upaya dan berkeperluan khas,” ujar beliau lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda