Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kukuhkan institusi kekeluargaan dengan acara keagamaan

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan Keluarga Allahyarham Haji Mohamad

    Dalam mengharungi cabaran hidup yang serba moden ini, ditambah lagi dengan pengaruh-pengaruh negatif daripada media sosial, ibu bapa perlu mengukuhkan didikan agama dalam sesebuah keluarga dan memastikan akhlak serta akidah anak-anak tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

    Islam juga merupakan agama yang mementingkan hubungan kasih sayang yang merupakan fitrah semula jadi yang Allah SWT jadikan dalam naluri diri setiap insan dan penting untuk membina sebuah keluarga bahagia dan harmoni.

    Membina kasih sayang sudah tentu menjadikan sesebuah keluarga itu boleh hidup dalam keharmonian sepanjang masa manakala institusi keluarga itu hendaklah dibentuk berlandaskan Al-Quran dan Sunah serta takwa kepada Allah SWT.

    Tugas dan tanggungjawab dalam membimbing keluarga, bukanlah untuk sehari dua sahaja tetapi ia perlu berterusan hingga ke akhir hayat di mana kejayaan ibu bapa dalam membentuk keluarga bahagia dan harmoni berciri ajaran Islam akan bercermin kepada anak-anak apabila mereka membina keluarga kelak hingga boleh membentuk masyarakat, bangsa dan negara yang cemerlang lagi gemilang.

    Selain itu, menanamkan sikap saling hormat-menghormati sesama keluarga, serta mengelakkan penggunaan kata-kata kesat, mendengar keluhan dan pandangan anak-anak juga merupakan satu perkara yang perlu dititikberatkan supaya mereka berasa dihargai dan disayangi.

    Keluarga Allahyarham Haji Mohamad dan Allahyarhamah Hajah Apsah bergambar ramai semasa majlis berkenaan.
    Salah seorang kepala keluarga menerima cenderahati semasa majlis berkenaan.
    Suasana acara berdikir bagi menyambut cucu dan cicit yang baharu lahir.

    Cucu lelaki Allahyarham Haji Mohamad dan Allahyarhamah Hajah Apsah bergambar ramai semasa majlis berkenaan.

    Antara salah satu cara kita mengukuh-kan institusi kekeluargaan khususnya bagi ahli keluarga yang ramai adalah dengan menganjurkan acara riadah dan perjumpaan dalam kalangan keluarga besar tidak kiralah ia dilakukan semasa sambutan hari kebesaran seperti Hari Raya Aidilfitri, bulan Ramadan dan yang seumpamanya malahan kerap juga kita dengar acara-acara hari keluarga diadakan oleh keluarga-keluarga besar di negara ini yang akan menyatukan ahli-ahli keluarga di kalangan sepupu sepapat yang jarang ditemui.

    Sehubungan itu, baru-baru ini keluarga besar Allahyarham Haji Mohamad bin Tarip dan Allahyarhamah Hajah Apsah binti Daud turut mengadakan acara yang serupa di Dewan Bankuet Serikandi di Tungku yang dihadiri oleh hampir 200 orang ahli keluarga berkenaan yang terdiri daripada empat generasi.

    Majlis perhimpunan keluarga besar Allahyarham Haji Mohamad dan Allahyarhamah Hajah Apsah, diselajurkan dengan bacaan Doa Kesyukuran, Berdikir, Tahlil Doa Arwah serta penyampaian cenderahati.

    Ada pun tujuan acara tersebut diadakan adalah bagi menghimpunkan semua ahli keluarga setelah tiga tahun acara keluarga ditiadakan disebabkan penularan wabak COVID-19.

    Dengan adanya acara seumpama itu dapatlah mereka bermesra antara satu sama yang lain sekali gus mengeratkan silaturahim antara sesama keluarga khususnya bagi ahli keluarga dalam usia yang masih muda untuk saling mengenali sesama saudara mara.

    Kemuncak acara perhimpunan keluarga besar tersebut ialah majlis berdikir bagi meraikan kelahiran cucu dan cicit yang baharu lahir sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan serta bacaan tahlil dan Doa Arwah bagi ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah sebagai tanda ingatan serta kasih sayang bagi mereka yang lebih awal dijemput Ilahi.

    Penyampaian cenderahati juga antara pengisian acara pada perhimpunan tersebut yang diserahkan kepada setiap kepala keluarga iaitu anak-anak Allahyarham Haji Mohamad dan Allahyarhamah Hajah Apsah yang terdiri seramai 15 orang.

    Bagi mengenang dan mengabadikan kenangan indah bersama-sama ahli keluarga tidak dilupakan sesi bergambar ramai untuk mengenang detik-detik manis bersama dengan insan yang tersayang.

    Di samping acara perhimpunan berkenaan, majlis-majlis kekeluargaan yang biasa diadakan pada setiap tahun oleh keluarga tersebut ialah acara tahlil, Doa Arwah, majlis bertadarus ke rumah-rumah setiap pagi Jumaat dan Ahad sepanjang bulan Ramadan dan khatam Al-Quran diselajurkan dengan meraikan cucu dan cicit yang baharu lahir di rumah ahli keluarga yang terpilih secara bergilir.

    Adalah diharapkan semoga acara yang penuh berkebajikan seperti ini dapat diteruskan oleh anak-anak dan generasi penerus keluarga berkenaan di masa yang akan datang dengan harapan hubungan kekeluargaan sentiasa terjalin erat dan generasi-generasi yang baru saling kenal-mengenali dengan ahli-ahli keluarga mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...