Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    10 kena kompaun lebih $3,000

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Tiga individu dan tujuh buah syarikat telah dikenakan tindakan kompaun berjumlah $3,300 keseluruhannya apabila didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12 Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021 Panggal 30 kerana membuang sampah di tempat awam dan laluan awam.

    Kompaun itu dikeluarkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) dalam tempoh 1 Februari hingga hari ini.

    Bahagian Penguatkuasaan JBBSB, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan Operasi Sepadu Bersih 01/23 telah dijalankan bersama agensi-agensi penguatkuasaan iaitu JBBSB, Jabatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) serta Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan di kawasan Kampung Telanai, Kampung Bunut dan sekitar Gadong.

    Dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 12 buah kenderaan terbiar telah dikenal pasti bagi tujuan dikuatkuasakan melalui projek kebangsaan untuk menangani isu kenderaan terbiar atau lebih dikenali sebagai AVNP.

    JBP pula telah mendapati sebuah bangunan di Kampung Telanai gagal mematuhi Akta Piawaian Keselamatan Kebakaran dan Building Guideline Requirements 2022 (BGR).

    Manakala itu, Jabatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan telah mendapati dua bangunan di Kampung Telanai dalam keadaan kotor yang boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar dan berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan penyakit berjangkit bawaan vektor jika tidak ditangani segera oleh pihak pengurusan bangunan.

    Menurut pindaan di bawah Perintah Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021 Penggal 30, kadar kompaun bagi mana-mana individu atau badan korporat yang dikeluarkan kompaun bagi kesalahan di bawah Bab 12 atau mana-mana kesalahan ialah bagi individu, boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $1,000 dan bagi badan-badan korporat boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $2,000.

    Manakala itu, bagi individu dan badan-badan korporat yang gagal menjelaskan kompaun dan diambil tindakan melalui mahkamah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $ 1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, badan-badan korporat yang melakukan kesalahan pertama di bawah bab ini boleh dikenakan denda tidak kurang dari $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Kesalahan membuang sampah di tempat awam antara yang dikenakan kompaun.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...