Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kunjungan hormat untuk majukan pendidikan TVET

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Delegasi Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Republik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Jose Ramos-Horta di Istana Presiden Nicolau Lobato, Dili, Timor-Leste.

    Delegasi berkenaan terdiri daripada Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar, pihak pengurusan dan ahli-ahli lembaga pengarah, para pegawai dan rakan-rakan jemputan termasuk wakil-wakil dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), GIZ Germany; NISAI Group dan FESTO Didactic.

    Menurut SEAMEO VOCTECH, pertemuan penting pada 24 Oktober lalu itu adalah bagi menandakan satu langkah penting ke arah memajukan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Timor-Leste dan mengukuhkan ikatan dengan rantau Asia Tenggara.

    Dalam pada itu, TYT Jose Ramos-Horta telah melahirkan rasa terima kasih kepada delegasi atas lawatan mereka, menekankan kepentingan TVET dalam perjalanan Timor-Leste ke arah pembangunan mampan dan kemajuan ekonomi.

    Pertemuan berkenaan juga bagi menggariskan dedikasi Tuan Yang Terutama yang tidak berbelah bahagi untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran belia Timor-Leste, sejajar dengan matlamat sosioekonomi negara yang lebih meluas.

    Delegasi Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH semasa mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Jose Ramos-Horta, di Istana Presiden Nicolau Lobato, Dili, Timor-Leste, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PUSAT SERANTAU SEAMEO VOCTECH

    Semasa kunjungan hormat tersebut, Awang Alias antara lain menjelaskan secara ringkas mengenai Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, mandatnya dan ahli-ahli lembaga pengelola pusat berkenaan.

    Di samping itu, beliau juga menyatakan kesyukuran dengan pencapaian pertumbuhan konsisten SEAMEO VOCTECH sejak tiga dekad yang lalu, lebih-lebih lagi dengan adanya soko-ngan dan pengesahan yang tidak berbelah bahagi daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pendidikan.

    Tambahnya lanjut, pelaburan dan kepercayaan berterusan mereka dalam usaha SEAMEO VOCTECH telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan dan meningkatkan kualiti sistem TVET di rantau ini.

    Beliau juga memberikan gambaran menyeluruh tentang kerjasama pusat itu dengan INDMO dan menekankan kejayaan pelancaran Manual Kualiti TVET untuk Timor-Leste, satu pencapaian ketara hasil daripada usaha SEAMEO VOCTECH.

    Hadir semasa kunjungan hormat berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Wan Hadfi Lutfan Haji Abdul Latif; wakil Sekretariat SEAMEO VOCTECH, Ansgar Schaffer; wakil Kementerian Pendidikan Timor-Leste, Alfredo; Pengarah IP INDMO, Isabel Fernandes De Lima; Pengarah Kebangsaan Pendidikan Asas, Kementerian Pendidikan Timor-Leste, Alfredo de Araujo.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...