Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Satu delegasi diplomat belia Brunei dan pelatih di Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diketuai oleh ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari mengadakan kunjung muhibah kepada Duta Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Htin Lynn di Kedutaan Republik Kesatuan Myanmar di Negara Brunei Darussalam, hari ini.
Semasa kunjungan itu, TYT U Htin Lynn berkongsi pengalamannya dalam diplomasi pelbagai hala dengan delegasi serta sejarah mantan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Jeneral U Thant dari Myanmar.
Di samping itu, beliau turut berkongsi dan membincangkan mengenai hubungan dua hala di antara Brunei dan Myanmar.
Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab dan sesi bergambar ramai.
Delegasi berkenaan juga berpeluang untuk menikmati hidangan tradisional Myanmar iaitu Mont-hin-ga, sejenis hidangan mi, nasi dengan sup ikan.
Sebelum dilantik sebagai Duta Republik Kesatuan Myanmar ke Negara Brunei Darussalam, TYT U Htin Lynn berkhidmat sebagai Wakil Tetap Myanmar ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi-organisasi antarabangsa lain di Geneva.
