Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    KUPU SB ajak pelajar praktik teori dakwah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Bagi memberikan pendedahan dan pengalaman kepada penuntut mengenai cara menyelaras program dan khidmat masyarakat, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengungkayahkan Program Perkhemahan Ukhuwah Islamiyyah di Rumah Kegiatan, Balai Ibadat Kampung Bebuloh
    bermula hari ini.

    Program dua hari anjuran Kelab Fikrah, Fakulti Usuluddin KUPU SB itu turut mengajak mahasiswa dan mahasiswi mempraktikkan teori dakwah yang dipelajari sepanjang pengajian mereka.

    Hadir merasmikan program ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

    Sepanjang program itu, mahasiswa dan mahasiswi akan melakukan beberapa aktiviti termasuk klinik wuduk dan bacaan Al-Fatihah, ceramah motivasi sahsiah Islam dan kepentingan ukhuwah serta kegiatan khidmat masyarakat bersama penduduk kampung.

    Program turut diserikan dengan ceramah khas oleh Penolong Pensyarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath KUPU SB, Awang Abdul Rahman bin Ajak.

    Beliau menyentuh mengenai kedatangan bulan Ramadan, dengan persiapan menghadapinya termasuklah mengulang kaji Fiqh As-Siyam yang berkaitan dengan hukum-hakam ibadah puasa seperti mengenal pasti golongan wajib berpuasa, rukun-rukun puasa, perkara sunat dan membatalkan ibadah puasa.

    Selain itu, beliau turut mengetengahkan kelebihan-kelebihan orang yang melakukan ibadah puasa dan keutamaan membaca Al-Quran.

    Program bermatlamat bukan sahaja mendedahkan, memberi pengalaman serta mempraktikkan teori dakwah, malahan memperkenalkan KUPU SB sebagai kolej yang menumpukan perguruan agama dan sebagai wadah menanai konsep Amar Makruf Nahi Munkar dan sikap tolong-menolong ke arah kebajikan serta ketakwaan.

    Ia turut dihadiri oleh para pegawai kanan, pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB serta penduduk kampung tersebut.

    Awang Abdul Rahman semasa menyampaikan ceramah. – Gambar serahan KUPU SB
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...