Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) kelmarin mengadakan Majlis Penutup Tadarus Ihya Ramadan yang dikelolakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.
Hadir pada majlis itu ialah Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar selaku tetamu kehormat.
Majlis juga dihadiri oleh pegawai-pegawai utama, pensyarah-pensyarah dan kakitangan KUPU SB.
Majlis penutup tadarus dimulakan dengan bacaan Asma Al-Husna, nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam beramai-ramai dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat.
Doa sebelum membaca Al-Quran dan bacaan dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas dipimpin oleh Pegawai Pelajaran Pusat Ilmu Teras, Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya.

Kemudian bacaan Doa Khas Khatam Al-Quran dibacakan oleh Pegawai Kegiatan Luar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Ampuan Muhammad Fuad bin Ampuan Babba.
Majlis diteruskan dengan bacaan tahlil yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Kesejahteraan, Bahagian Hal Ehwal, Awang Abdul Hadi bin Haji Abdullah.
Manakala, Doa Tahlil pula dibacakan oleh Dekan Pelajar, Awang Ali Hardi bin Haji Mohamed diikuti dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah diketuai oleh Penolong Ketua Keagamaan dan Takmir Surau, MPP KUPU SB, Awang Aqil Arfan bin Arjune.
Majlis diserikan lagi dengan Iftar Jama’ie, solat Fardu Maghrib dan Isyak serta Sunat Tarawih berjemaah di Surau Siswa KUPU SB.
Majlis seumpamanya merupakan aktiviti tahunan yang diadakan pada setiap penghujung bulan suci Ramadan dengan bertujuan untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan dalam mencari malam Lailatulqadar di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai, pensyarah-pensyarah dan kakitangan KUPU SB.
KUPU SB juga turut menyemarakkan lagi kemuliaan bulan suci Ramadan tahun ini dengan mengadakan Program Qiamullail pada subuh 29 April di Surau Siswa, KUPU SB dan Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.