Tuesday, April 23, 2024
35.6 C
Brunei

    -

    KUPU SB diseru mantapkan sahsiah guru

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Selaku institusi perguruan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) perlu terlibat untuk memberikan pelbagai kursus atau latihan pemantapan sahsiah dan pedagogi kepada guru-guru, bukan sahaja guru-guru pendidikan Islam, malahan guru-guru seperti sains, matematik dan sebagainya serta tidak hanya terikat dengan pelbagai program akademiknya.

    Pemantapan itu merujuk kepada penyerapan pelbagai nilai Melayu Islam Beraja (MIB) dan kerohanian dalam kalangan guru, supaya setiap pengajaran dan pembelajaran itu mempunyai pelbagai nilai ibadat dan amal soleh kerana itulah kelainan ketara bahawa pendidikan Islam itu tidak meminggirkan pelbagai perkara ukhrawi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perkara itu pada Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-12 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.

    Baginda menegaskan bahawa KUPU SB juga sangat terikat untuk mencontohi Rasulullah SAW, selaku ‘Guru Tertinggi’ untuk mengajar dan membimbing umat dengan pelbagai ajaran yang dibawa Baginda.

    “Beta juga mengetahui bahawa KUPU SB telah menyahut titah Beta semasa Hari Belia yang lepas, dengan menyediakan program-program pembinaan sahsiah belia. Langkah ini memanglah bagus dan malah terpuji, kerana tanggungjawab pusat pengajian tinggi bukan sahaja untuk mendidik para pelajarnya, bahkan turut mendidik anggota masyarakat,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-12 di Dewan Plenari, ICC, kelmarin. – Gambar Infofoto

    Baginda turut mengambil maklum bahawa KUPU SB sentiasa membuat penilaian terhadap keberkesanan kurikulumnya, termasuk menggubal semua kurikulum bagi pelbagai program lepasan ijazah.

    “Ini dibuat, supaya siswa dan siswi, peringkat sarjana dan doktor falsafah mampu untuk berbincang dan berhujah menyelesaikan pelbagai isu terkini berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadis,” tekan Baginda.

    Sehubungan itu, Baginda menyarankan semua institusi pengajian tinggi agar menilai, dan jika perlu, menggubal semula kurikulum program masing-masing bagi mewajarkan semua ilmu yang diperoleh akan benar-benar dapat dimanfaatkan, bukan sahaja bagi diri sendiri malahan juga untuk memenuhi keperluan negara.

    “Negara memang memerlukan program-program akademik dan intelektual yang praktis. Praktis dalam erti kata dapat menyelesaikan isu masyarakat, termasuk meningkatkan kemudahan teknologi, memantapkan ekonomi, menyediakan sumber keselamatan makanan dan juga keselamatan negara,” tekan Baginda.

    Baginda turut mengambil ingatan bahawa KUPU SB sedang mengendalikan pelbagai bengkel pengajaran bahasa Arab bagi guru-guru agama, yang sebelum ini juga menganjurkan pelbagai kursus yang dinamakan sebagai Lughah Al-Mu’allim atau Bahasa Guru.

    Dengan mutu yang semakin tinggi dan pelbagai kegiatannya yang menyerlah, titah Baginda, maka KUPU SB dilihat semakin popular dalam kalangan universiti antarabangsa, khasnya di rantau ini.

    “Selain program perguruan Islamnya, KUPU SB juga dikenali sebagai mempunyai program-program kokurikulum yang mantap untuk melahirkan para pendidik yang kompeten. Ini, menyerlahkan imej baik bagi KUPU SB,” titah Baginda lagi.

    Terdahulu, Baginda Sultan turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan, ibu bapa dan ahli akademik KUPU SB atas kejayaan graduan yang menamatkan pengajian masing-masing.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...