BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Pada masa ini hanya tinggal kurang 1 bilion langkah lagi untuk mencapai sasaran Cabaran 20 Bilion Langkah Bersama dengan masa berbaki lebih kurang dua hari sahaja lagi.
Justeru orang ramai disarankan untuk bersama-sama menyahut cabaran yang cukup bermanfaat ini dengan cara mengemas kini langkah masing-masing di aplikasi BruHealth setiap hari.
Kementerian Kesihatan telah melancarkan Cabaran 20 Bilion Langkah Bersama – Kempen BN on the Move pada Oktober lalu dan akan berakhir pada penghujung tahun ini.
Kempen tersebut mengga-lakkan orang ramai untuk menjalani cara hidup sihat dan kekal aktif melalui berjalan kaki atau meningkatkan tahap kegiatan fizikal melalui aktiviti-aktiviti senaman yang dapat meningkatkan jumlah langkah setiap hari sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.
Orang ramai boleh melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dengan ahli keluarga terutama pada hujung minggu, selain untuk mengekalkan gaya hidup sihat, ia juga boleh mengeratkan tali kekeluargaan dengan menghabiskan masa bersama-sama sambil melakukan perkara yang bermanfaat.
Sehubungan itu, orang ramai juga dialu-alukan untuk ikut serta dan menghadiri acara 20 Billion Steps the Final Countdown yang akan diadakan pada 31 Disember ini pada pukul 3:50 petang.
Aktiviti berjalan pantas sejauh tiga kilometer dengan tema baju berwarna biru itu akan diadakan di Taman Riadah, Jalan Pusat Persidangan.
Orang ramai turut diseru agar terus berjalan dan melakukan aktiviti senaman dan pada masa yang sama tidak lupa untuk mengemas kini langkah masing-masing di aplikasi BruHealth.