Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kurang upaya penglihatan tidak halang Lim peroleh ijazah

    KUALA LUMPUR – Biarpun menghadapi cabaran berikutan kekurangan upaya penglihatan sejak kecil, seorang siswazah daripada Quest International University (QIU), Lim Yong Xin berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan kepujian kelas pertama.

    QIU dalam satu kenyataan berkata pada konvokesyennya yang berlangsung baru-baru ini di Ipoh, Perak, graduan berusia 23 tahun itu dengan bangganya melangkah naik ke pentas untuk menerima skrol daripada Naib Canselor Prof Zita Mohd Fahmi dengan diiringi tepukan gemuruh.

    Ia berkata Lim yang didiagnosis menghidap glukoma ketika berusia enam tahun, menghadapi kesukaran melalui landskap pendidikan dengan kekurangan upaya penglihatan tetapi keazaman tinggi dan daya tahan dimilikinya berjaya membuatkan beliau mengenakan topi graduan satu pencapaian yang sebelum ini beliau pernah percaya di luar kemampuannya.

    “Laluan Lim untuk mencapai kecemerlangan akademik dibantu dengan alat bantu seperti bantuan penglihatan elektronik, bahan bacaan elektronik dan perisian pembaca skrin.

    “Beliau mengakui pengajiannya memerlukan lebih masa berbanding rakannya, terutama apabila mengendalikan bahan pembelajaran visual atau tulisan tangan.

    Lim Yong Xin berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan kepujian kelas pertama. – Bernama

    “Bagaimanapun, kejayaan beliau juga merupakan usaha bersama yang melibatkan institusi pendidikannya, guru-guru dan rakan-rakannya,” kata QIU dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 19 Oktober.

    Lim yang merancang untuk meneruskan pengajiannya ke peringkat sarjana, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan diterimanya di QIU, yang di luar jangkauan untuk memudah cara perjalanan pengajiannya.

    Ia berkata penyesuaian yang dilakukan untuk Lim termasuk peperiksaan dalam talian dan menyediakan kertas peperiksaan dibesarkan yang banyak membantu mengurangkan tekanan akademik dihadapinya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif QIU, Nicholas Goh dalam kenyataan sama berkata satu daripada prinsip teras QIU ialah memastikan tidak ada yang tertinggal dan setiap penuntut berhak mendapat sokongan diperlukan untuk mempamerkan bakat, menyedari potensi dan mencapai impian mereka.

    “Ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk menyokong bakat yang akan membentuk masyarakat masa depan.

    Penuntut seperti Lim mempamerkan keazaman dan keberanian luar biasa untuk mencapai sasaran mereka dan kami amat berbangga dengan pencapaian beliau.

    Antara lebih 500 siswazah muda yang menerima skrol mereka pada konvokesyen itu ialah dua kakitangan sepenuh masa Kumpulan QI yang mengambil peluang memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di universiti itu untuk perkembangan kerjaya mereka.

    Mereka adalah Johny Nagarethnam dan Srikanth K Thyagarajan yang perjalanan akademik mereka menyentuh senarai beberapa mata pelajaran seperti Manusia dan Pertubuhan, Perniagaan dan Ekonomi Sejagat, Perakaunan dan Kewangan untuk Pengurus, Kaedah Penyelidikan dan Analisis Pemasaran. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...