Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kurikulum pendidikan selaras piawai antarabangsa

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Kementerian Pendidikan terus memastikan penyediaan pendidikan yang holistik dengan meningkatkan potensi pelajar khususnya dalam konteks pencapaian penghasilan pembelajaran di tahap yang cemerlang termasuk pelajar yang berkeperluan khas selaras dengan visinya iaitu Pendidikan Berkualiti, Negara Dinamik.

    Ke arah itu, Kementerian Pendidikan melaksanakan beberapa inisiatif pada peringkat pendidikan teras di antaranya Program Sokongan Pembelajaran bertujuan bagi membantu pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran dalam menguasai kemahiran literasi dan numerasi di setiap sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

    Inisiatif yang dilaksanakan dan pencapaian Kementerian Pendidikan telah dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya semasa Sesi Muzakarah antara Kementerian Pendidikan bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Persidangan P1, Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Sesi muzakarah bersama Kementerian Pendidikan dihadiri oleh seramai 19 orang ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam.

    Turut hadir pada sesi muzakarah ialah setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor, rektor, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa mengongsikan inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan pada sesi muzakarah tersebut.
    Ahli-ahli MMN yang menghadiri sesi muzakarah bersama Kementerian Pendidikan, kelmarin.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut mengongsikan mengenai pengukuhan piawaian dan kurikulum selaras dengan piawaian antarabangsa bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, Sains, Literasi Digital (piawaian) dan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (kurikulum).

    Selain itu, Kementerian Pendidikan turut menyediakan rangka kerja bagi melaksanakan kurikulum yang berdasarkan kemahiran abad 21 seperti Rangka Kerja Kompetensi Literasi Kewangan bagi Pelajar Sekolah dan Orang Dewasa serta Warga Digital, Rangka Kerja dan Garis Panduan bagi Sekolah-sekolah serta memperkenalkan Program Sahsiah Pelajar dalam pengisian kokurikulum, penyediaan Pusat Kecemerlangan bagi memastikan keperluan perkembangan potensi dan pembelajaran pelajar berkeperluan khas serta bagi mengukuhkan dan meningkatkan kemahiran pengajaran abad ke-21, Penilaian Berasaskan Sekolah akan terus dilaksanakan secara meluas.

    Yang Berhormat Datin seterusnya mengongsi inisiatif-inisiatif di peringkat pengajian tinggi iaitu kadar pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian bagi graduan Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) kohort 2021 di mana ia menunjukkan peratus yang baik iaitu sekitar 69 peratus bagi PB dan 75 peratus bagi IBTE.

    “Ini adalah hasil dari penawaran kursus dan kurikulum yang sejajar dengan kehendak industri dan pasaran pekerjaan melalui kerjasama rapat dengan pihak berkepentingan khususnya Manpower Planning and Employment Council (MPEC),” katanya.

    Beliau turut menyatakan selain keutamaan melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi, antara pencapaian signifikan universiti-universiti tempatan adalah pencapaian pengiktirafan antarabangsa yang mengukur kriteria keupayaan khusus setanding dengan universiti-universiti antarabangsa.

    Dalam menyokong pembelajaran sepanjang hayat, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah memperkenalkan Program Postgraduate Microcredentials bagi memberi peluang kepada para profesional dan graduan untuk meningkatkan kemahiran yang seterusnya membolehkan mereka untuk memperoleh kelulusan Brunei Darussalam Qualification Framework (BDQE) sama ada di Tahap 6 dan 7.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menambah bahawa dalam merealisasikan setiap perancangan yang diterajui Kementerian Pendidikan, keutamaan terus diberikan kepada pembangunan kecemerlangan organisasi khasnya dari sudut urus tadbir, ketersediaan prasarana, dan peningkatan keupayaan sumber tenaga manusia.

    Di peringkat antarabangsa pula, kerjasama rapat khasnya melalui hubungan dua hala dengan institusi pendidikan luar negara terus diperkukuh.

    Yang Berhormat Datin turut menyentuh mengenai cabaran khususnya yang dibawa oleh COVID yang telah mengakibatkan penutupan sekolah yang membawa kepada kehilangan pembelajaran serta memberikan kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan pelajar.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda